|
|
|
Tuesday, 25 September 2012 20:33 |
Pix: theSunKUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini mengecam keras penerbitan dan penyiaran video yang menghinan Islam dan Nabi Muhammad saw.
Ahli Parlimen daripada kedua-dua parti, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat sepakat mengecam video berkenaan dalam satu usul tergempar yang dibuat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika sidang Dewan berlangsung.
Mereka mengecam sekeras-kerasnya penghasilan filem berkenaan yang disifatkan mempunyai agenda untuk mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (foto) ketika menggulung perbahasan usul tergempar tersebut menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan berlakunya penghinaan terhadap mana-mana agama.
"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya video anti-islam yang menjadi punca protes anti-Amerika di beberapa buah negara Islam seluruh dunia.
"Video anti-Islam yang dihasilkan atas dasar kebebasan mutlak bersuara di negara-negara Barat termasuklah di Amerika Syarikat telah mencetuskan penentangan dan kemarahan masyarakat Islam diseluruh dunia.
"Justeru Malaysia berpendirian bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara berhemah dan penuh tanggungjawab," kata ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.
Nazri juga menegaskan, bersandarkan kebebasan tanpa batasan yang diamalkan Barat, penghasilan video itu akhirnya memburukkan lagi situasi hubungan antara Barat dengan negara-negara Islam.
"Artikel 10 Perlembagaan Malaysia turut memperuntukkan hak kebebasan bersuara namun menegaskan hak berkenaan bukan sesuatu yang mutlak.
"Ia bukanlah satu hak yang mutlak dan kebebasan menghina atau menfitnah tidak harus dibenarkan sehingga boleh menjejaskan kehidupan serta keharmonian masyarakat antarabangsa," tegasnya.
Nazri turut menambah,"Malaysia juga berpendirian bahawa pandangan serta tindakan ekstrim atau melampau dan keganasan yang dilakukan oleh beberapa pihak tidak boleh diterima sama sekali."
Filem arahan seorang individu menggunakan nama samaran Sam Bacile dari California yang disiarkan dalam laman YouTube itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang homoseksual, menyokong seks luar nikah dan pedofilia.
- The Malaysian Insider
|