Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

'Pengamal Perubatan Islam' Mengaku Tidak Salah Cuba Lakukan Persetubuhan Haram

  
Tuesday, 09 October 2012 18:02

Muhammad Sombhah ketika ditahan anggota penguat kuasa JHEAINS di Kampung LBJ, Labu, Seremban pada 17 September lalu.Muhammad Sombhah ketika ditahan anggota penguat kuasa JHEAINS di Kampung LBJ, Labu, Seremban pada 17 September lalu.SEREMBAN: Seorang lelaki, yang mendakwa dirinya pengamal perubatan Islam, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Syariah berasingan di sini atas empat pertuduhan termasuk cuba melakukan persetubuhan haram di sebuah rumah di Kampung LBJ dekat sini, bulan lepas.

Muhammad Sombhas Abdullah, 48, berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Syarie Abu Zaky Mohamad menetapkan 2 Nov ini untuk perbicaraan.
   
Mahkamah turut mengekalkan bon jaminan RM4,000 dengan dua penjamin terdiri daripada penjawat awam bagi setiap pertuduhan terhadap Muhammad Sombhas seperti yang ditetapkan sebelum ini.
   
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu dekat sini pada 17 Sept lepas mengikut Seksyen 50, 49 dan 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000.
    
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mempermain, mengajuk atau mengejek-ejek amalan atau upacara yang berkaitan dengan agama Islam dan perjalanan mazhab yang muktabar, dengan menjalankan upacara pernikahan batin.

Muhammad Sombhas dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah, semalam. Pix: Sinar HarianMuhammad Sombhas dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah, semalam. Pix: Sinar HarianPertuduhan kedua mendakwa Muhammad Sombhas telah mempermain, mencela, mengejek dan menghina ayat Al-Quran dengan menggunakan naskhah Al-Quran dalam pernikahan yang bertentangan dengan hukum syarak, dan meletakkan Al-Quran di atas lantai semasa melakukan pernikahan itu.
   
Mengikut pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menjalankan upacara pernikahan yang berlawanan dengan hukum syarak dan ajaran agama Islam.
   
Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah, Muhammad Sombhas didakwa memikat seorang wanita dengan niat untuk melakukan persetubuhan haram di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 77 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 jika sabit kesalahan.
     
Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor menangguhkan kes itu sehingga 2 Nov ini dan mengekalkan bon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin penjawat awam seperti yang ditetapkan sebelum ini.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarie Salmi Amalia Jamil manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.

 

 

 

- Bernama

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.