Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

300 Adakan Demonstrasi Aman Bantah Projek Kondominium di Batu Caves

  
Friday, 26 October 2012 20:48

batu-cavesBATU CAVES: Kira-kira 300 orang mengadakan demonstrasi aman di hadapan kuil Sri Subramaniar Swamy di sini hari ini untuk membantah cadangan pembinaan dua blok kondominium setinggi 29 tingkat berhampiran kuil itu. 

Mereka berkumpul sejak pukul 10 pagi dengan membawa sepanduk, termasuk yang bertulis “Hentikan pembinaan, selamatkan warisan semula jadi dan tempat ibadat terkenal di dunia". 

Pengerusi Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam Datuk R. Nadarajah berkata pembinaan dua blok kondominium setinggi 29 tingkat yang dicadangkan itu akan memusnah patung Dewa Murugan tertinggi di dunia yang terletak kurang 300 meter dari tapak pembinaannya. 

“Pembinaannya akan membahayakan nyawa pengunjung kuil dan pelancong dari seluruh dunia akibat (kemungkinan) benda jatuh berikutan pembangunan besar-besaran di tempat berhampiran kuil ini. 

“Oleh itu, projek ini perlu dihentikan terus, bukan hanya sementara dan kami menggesa kerajaan (Selangor) supaya menimbang masalah yang kami hadapi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Sementara itu, bekas presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata pembinaan bangunan tinggi perlu dibantah kerana ia memberi pelbagai kesan terhadap ekosistem bukit batu kapur di tempat berkenaan. 

“Kami tidak meminta wang atau tanah, kami hanya minta pembinaannya dihentikan terus kerana kerana ia juga akan menjejaskan banyak spesies haiwan dan tumbuhan," kata Duta Khas Infrastruktur Malaysia ke India dan Asia Selatan itu. 

Setiausaha Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Lim Teck Wyn pula berkata kondominium setinggi 29 tingkat itu tidak selamat dibina di Batu Caves. 

Beliau mengimbas kembali kejadian pada 19 Okt 1973 apabila seketul batu besar terserpih daripada permukaan cenuram Gunung Cheroh, Ipoh dan menghempap Kampung Kacang Putih hingga mengakibatkan 42 orang terbunuh," katanya. 

Berikutan tragedi itu, Jabatan Mineral dan Geosains mengeluarkan garis panduan berhubung pembangunan berhampiran bukit batu kapur. 

Permukaan cenuram Batu Caves berhampiran tapak pembinaan kondominium yang dicadangkan itu mempunyai permukaan ketakberterusan dan jerungkup dan ini bermakna ia menepati kriteria berhubung kadar bahaya amat tinggi yang ditetapkan jabatan tersebut. 

“Oleh itu, zon di sekeliling tapak bukit ini dianggap zon berbahaya yang tidak boleh dibina sebarang rumah atau bangunan kekal," kata Lim. 



- Bernama


 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.