'Kami Cemas Bekalan Elektrik Putus' - Pelajar Malaysia di New York |
| Tuesday, 30 October 2012 22:09 | |||
|
Penuntut tahun tiga di Stevens Institute of Technology, New Jersey, Fauzan Afandi berkata seramai 50 orang penuntut Malaysia di pusat pengajian itu terpaksa bergelap ekoran gangguan elektrik akibat ribut Sandy. "Kami agak cemas ketika bekalan elektik putus kerana dalam notis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, sekiranya bekalan elektrik putus, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk kembali pulih," katanya dalam emel kepada Bernama. Fauzan, yang berada di sana semasa 'Hurricane Irene' melanda tahun lepas, berkata beliau telah membuat persiapan mencukupi menghadapi suasana kali ini seperti menyediakan lampu suluh, bateri serta mengecas bateri telefon sepenuhnya. "Kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan menjimatkan sumber yang ada, terutamanya bateri telefon," katanya. "Kami hanya menggunakan Internet melalui pelan data telefon bimbit kami," kata penuntut jurusan kejuruteraan mekanikal itu yang berusia 22 tahun dan berasal dari Kuala Perlis. Menurut Fauzan, penuntut senior sentiasa berhubung dengan penutut lain terutama penuntut baru dan penuntut perempuan untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa. "Mujur masing masing mempunyai bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi. "Ada pelajar yang ketakutan sampai sukar untuk tidur. Kami berusaha mententeramkan perasaan masing-masing kerana angin sudah mulai reda walaupun paras air masih membimbangkan. "Oleh kerana ini pertama kali bagi sesetengah pelajar ditimpa musibah ketika berjauhan daripada keluarga, keadaan agak sukar bagi mereka. "Dengan musibah yang kami alami kali ini dapat mengeratkan lagi ikatan persahabatan sesama kami. "Pihak MSD (Malaysian Students Department)sentiasa berhubung dengan wakil pelajar di sini dari semasa dan semasa, walaupun mereka di sana pun dalam keadaan menghadapi bencana," katanya. Menurut Fauzan, perintah berkurung juga telah dikuatkuasa dan tidak pasti sehingga bila. "Menurut emel dan SMS yang dihantar oleh pihak berkuasa tempatan dan pihak universiti, tempoh berkurung berkuatkuasa sejak jam 6 petang tadi, dan kami perlu menunggu arahan seterusnya berikutan cuaca yang tidak menentu sekarang. "Kami diarahkan untuk tinggal di dalam rumah dan menjimatkan sumber sedia ada...lampu suluh dan telefon bimbit adalah penting dan kami sentiasa diingatkan untuk sentiasa berada dalam kumpulan," katanya. Pelajar Malaysian diminta patuhi arahan PELAJAR Malaysia di New York, Amerika Syarikat diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa negara itu ketika berdepan bencana 'Taufan Sandy'. Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mereka juga dinasihatkan berada dalam kawasan perlindungan dan menyimpan stok makanan yang mencukupi sepanjang tempoh bencana itu melanda. Beliau berkata pihak kementerian sentiasa memantau keadaan pelajar di New York dan mereka kini dalam keadaan selamat. "Ini satu bencana yang sudah dijangka akan berlaku dan dimaklumkan akan berlaku. Jadi persiapan dah diambil kira. "Apa yang penting, mereka mematuhi arahan yang dikeluarkan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri. Jangan jadi hero dengan berada di luar ketika keadaan itu," katanya selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pembayaran Balik Pembiayaan kepada Penerima Kelas Pertama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (2005-2010) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Sandy diletak dalam taufan kategori 1 dengan tiupan angin sehingga 120 kilometer sejam sejak tengah hari Ahad di New York.
- Bernama
|

















