Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Lagi Banyak 'Menjelajah', Lagi Banyak Masalah Terserlah

By SM AMIN ([email protected])   
Wednesday, 31 October 2012 13:05

Anwar_Ibrahim_2KUALA LUMPUR: Siri kempen 'Jelajah Merdeka Rakyat' yang dilancarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 31 Ogos lalu dilihat gagal mencapai matlamatnya untuk menyedarkan rakyat, sebaliknya mendedahkan lagi masalah-masalah dalaman parti, kata Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan.

 

Beliau menyifatkan perkara-perkara remeh yang dilakukan oleh parti pembangkang ini akan mewujudkan satu suasana di mana rakyat sangsi terhadap mereka.

"Saya nampak setiap kali mereka jelajah, banyak lagi perkara-perkara (masalah dalaman parti PKR) tersiar dan rakyat mula tertanya-tanya.

"Lebih banyak mereka 'berjelajah', lebih ramai rakyat tidak percaya pada mereka. Jadi, saya syorkan mereka aktifkan lagi jelajah ini," kata beliau ketika ditemui Malaysian Digest di lobi Parlimen baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menolak situasi seperti ini akan memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) dan meminta BN bekerja lebih keras memberi khidmat kepada rakyat.

"Bagi saya benda-benda begini tidak akan memberikan keuntungan kepada BN. Yang akan memberi keuntungan kepada BN ialah tindakan kita melakukan perkhidmatan kepada rakyat.

"Yang akan memenangkan kita pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) yang akan datang ialah sejauh mana kita turun padang membantu mengatasi masalah rakyat. Ini akan memberikan kemenangan dan kepercayaan rakyat terhadap kita," kata Ahli Parlimen Hulu Selangor itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) ketika berkempen 'Jelajah Merdeka Rakyat' di Pekan Sungai Besi pada pagi Ahad lalu telah mengumumkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Walaubagaimanapun, Anwar tidak mengulas lanjut mengenai kedudukan Abdul Khalid sebagai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok sekaligus menimbulkan spekulasi Selangor bakal mempunyai Menteri Besar baru sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang dalam PRU13 nanti.

Kamalanathan, ketika diminta mengulas kenyataan Anwar itu, berkata beliau sudah meramal perkara ini akan berlaku kerana Anwar hanya mengulangi apa yang telah disebut oleh seteru Abdul Khalid, Azmin Ali.

Beliau menyifatkan PKR ketika ini telah dikuasai oleh Azmin dan bukannya Anwar mahupun Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Perkara ini memang dari awal kita sudah ramal kerana sebelum YB Permatang Pauh menyatakan keputusan ini, YB Gombak Azmin Ali telahpun nyatakan. Hakikatnya, Anwar hanya mengulangi apa yang diperkatakan oleh Azmin.

"Dan ini juga menunjukkan bahawa PKR ini bukan di bawah kepimpinan Anwar ataupun di bawah kepimpinan Wan Azizah, malah ia berada dalam pimpinan Azmin. Ini merupakan satu hakikat kita harus terima," tambah beliau lagi.

Azmin, yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR, sebelum ini menyatakan Selangor berkemungkinan bakal menerima Menteri Besar yang baru jika Pakatan Rakyat diberi kepercayaan mentadbir Kerajaan Pusat pada PRU13 nanti.

Azmin menjelaskan, Abdul Khalid bakal dihantar ke Putrajaya bagi memperkukuhkan pentadbiran Putrajaya pada masa itu.

 

 

- mD

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.