Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Kanang Anak Langkau Dikebumi Di Perkuburan Pahlawan

  
Sunday, 06 January 2013 23:53

Anggota tentera dari perkhidmatan darat, laut dan udara mengusung keranda mendiang Datuk Temenggong Kanang Langkau sebelum dibawa ke gereja St Thomas Cathedral untuk upacara keagamaan. Pic: Utusan MalaysiaAnggota tentera dari perkhidmatan darat, laut dan udara mengusung keranda mendiang Datuk Temenggong Kanang Langkau sebelum dibawa ke gereja St Thomas Cathedral untuk upacara keagamaan. Pic: Utusan MalaysiaKUCHING: Pahlawan negara, mendiang Datuk Temenggong Kanang Langkau, disemadikan di tanah Perkuburan Pahlawan di sini hari ini dengan penuh penghormatan tentera yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Keranda, yang membawa jasad penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), anugerah keberanian tertinggi Malaysia, itu dibawa ke kawasan pengebumian oleh lapan orang pengusung yang terdiri daripada Pegawai Waran 1 (PWI) mewakili tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia diketuai PWI Michael Awie.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mewakili kerajaan Persekutuan dalam upacara itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu, yang mewakili kerajaan negeri.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.

Ketua paderi gereja St. Thomas Cathedral Kuching, Reverand Michael Buma Galami melakukan upacara terakhir sebelum keranda itu diturunkan.

Kanang, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak di Kuching pada pukul 1.45 pagi Khamis lalu kerana serangan jantung telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 21 tahun mulai 1962.

Bekas Pegawai Waran 1 Batalion kelapan Renjer Diraja ini merupakan satu-satunya anggota tentera Malaysia yang menjadi penerima dua pingat keberanian iaitu SP dan Pingat Gagah Berani (PGB) pada 1981 berikutan pengorbanannya kepada negara memerangi pengganas komunis di mana beliau hampir kehilangan nyawa dalam salah satu pertempuran.

Kanang juga memainkan peranan penting dalam usaha membawa balik sisa rangka 21 penjejak Iban, yang ditanam di beberapa tempat di semenanjung selepas terkorban dalam perang menentang komunis pada 1960an, kembali ke Sarawak di mana mereka dikebumikan semula di tanah perkuburan Pahlawan.



- Bernama

Baca lagi:

Panglima ATM Beri Penghormatan Terakhir Kepada Kanang

Kabinet Ucap Takziah Kepada Balu Kanang

Filem 'Kanang Anak Langkau' Mulakan Penggambaran Bulan Depan

Wira Negara Kanang Anak Langkau Meninggal Dunia, Diberi Penghormatan Negara Ahad Ini

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.