Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Pembangkang Diharap Terima Keputusan PRU13 - Najib

  
Friday, 08 February 2013 20:37

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berharap pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangkang seharusnya menghormati keputusan rakyat kerana ia adalah satu daripada prinsip penting dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

"Kita mesti terima apa jua keputusan rakyat, kalau dia (pembangkang) percaya pada demokrasi, dia tidak boleh menolak sesuatu yang diputuskan oleh rakyat.

"Kalau kita menyanjung prinsip demokrasi berparlimen, itulah hakikatnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Jumaat.

Najib berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat agar memandang serius ancaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan Kuala Lumpur seperti Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sekiranya hasrat beliau menjadi perdana menteri tidak kesampaian pada pilihan raya umum nanti.

- Bernama

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.