Bapa Adam Adli tolak tawaran "mohon maaf kepada PM"

Lim Hong Siang   
Saturday, 14 January 2012 03:01

.Di sebalik ugutan "menampar dan meludah pada muka Adam", yang disampaikan melalui video di Youtube oleh sekumpulan anggota UMNO, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Reezal Merican Naina Merican telah menelefon bapa Adam Adli, menawarkan agar anaknya memohon maaf kepada Presiden UMNO, berikutan perbuatan Adam menurunkan bendera berwajah Najib Razak.

Reezal Merican (gambar kanan) cuba menjelaskan kepada bapa Adam Adli, tentang perbuatan "biadap" yang telah dilakukan Adam.  Namun, menurut Adam Adli, "Ayah saya jawab, 'saya ada facebook, saya pun ada internet.  Saya tahu'."  Reezal Merican dikatakan menyusul dengan tawaran pertolongan, agar Adam diaturkan untuk memohon maaf kepada Perdana Menteri, tetapi dibalas oleh bapa Adam, "Tak apa-lah, saya minta pertolongan Tuhan."

Demikianlah kisah yang dikongsikan Adam Adli, aktivis mahasiswa yang mencetuskan kontroversi setelah menurunkan bendera berwajah Najib di ibu pejabat UMNO, dan kemudian menaikkan panji kebebasan akademik.  Beliau digantung tiga semester oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) lantaran perbuatannya pada 17 Disember 2011 itu.

Ketika ditanya keadaan keluarganya, setelah insiden-insiden ini berlaku, Adam menjawab, "Family saya sangat okay.  Mereka juga berjuang."  Jawapannya disambut dengan tepukan, sebelum beliau meneruskan, "Mereka yang lahirkan saya.  Kerana mereka yang lahirkan saya, mereka lebih kenal saya, dan saya ikut mereka."

Adam Adli berucap dalam satu forum berjudul "Adam Adli, Kebebasan Akademik & Kebangkitan Mahasiswa", bersama Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang dan aktivis seni Fahmi Reza.  Forum anjuran Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL di auditorim bangunannya itu, semalam, telah menarik kehadiran lebih 150 orang, yang kebanyakannya terdiri daripada siswa-siswa.
 

 

 

Baca selebihnya di Merdeka Review

 
Share on Myspace
Share