|
Aidil Syukri
|
|
Tuesday, 17 January 2012 15:40 |
|
KUALA LUMPUR, 17 JANUARI, 2012: Jingga 13 hari ini membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menggesa polis menyiasat penyelewengan dan pecah amanah yang melibatkan pembayaran melibatkan wang Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) sejumlah RM593,500 bagi membiayai kad kredit ahli keluarga menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Menurut koordinator program Jingga 13, Fariz Musa, pembiayaan kad kredit yang menggunakan kad kredit Maybank dan CIMB Bank tersebut melibatkan suami Shahrizat, Dato’ Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga orang anaknya, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh, Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.
Menurut Fariz, Jingga 13 mempersoalkan bagaimana wang rakyat yang seharusnya digunakan dalam projek lembu Fidlot Kebangsaan boleh digunakan bagi tujuan membiayai kad kredit ahli keluarga Shahrizat yang terkandung dalam buku tunai NFC di dalam akaun CIMB Bank Taman Tun Dr Ismail pada tahun 2009 sepertimana yang didedahkan oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. “Kami (JIngga 13) mendesak agar pihak polis menyiasat secara terperinci setiap perbelanjaan dan penggunaan kad kredit oleh seluruh ahli keluarga Shahrizat daripada setiap akaun sepertimana yang dibayar dengan menggunakan wang NFC,” kata Fariz. Katanya lagi, keseluruhan pembayaran oleh NFC berjumlah RM503,500 telah digunakan oleh seluruh ahli keluarga Shahrizat pada tahun 2009 bagi tujuan membayar kad kredit atas nama peribadi. “Kami juga mencabar dan mendesak seluruh ahli keluarga Shahrizat agar keseluruhan penyata penggunaan kad kredit Maybank dan CIMB Bank didedahkan kepada umum kerana ianya merupakan wang rakyat,” tambah beliau. “Rakyat berhak mengetahui secara terperinci setiap perbelanjaan dan untuk apa sejumlah RM593,000 dibelanjakan, serta bagi mengesahkan adakah benar sepertimana kenyataan Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh, Pengarah Eksekutif NFC bahawa ianya digunakan untuk tujuan perbelanjaan pengurusan lembu atau NFC dan bukan untuk kepentingan peribadi atau berpoya-poya,” katanya.
- mD
|