|
KUALA LUMPUR, 20 JANUARI, 2012: Aktivis Mahasiswa, Adam Adli bin Abd Halim hari ini menegaskan perjuangan yang dibawanya selama ini bukan bermotifkan politik sebaliknya berniat mahu membuka mata masyarakat tentang hakikat yang melanda sistem akademik negara ini.
Di dalam satu temubual ekslusif bersama Malaysian Digest hari ini, Adam berkata perjuangannya jelas iaitu untuk membawa kebebasan akademik yang memberi kuasa dan kebebasan kepada mahasiswa dan ahli akademik untuk mengamal dan mencabar ilmu.
Katanya, kebebasan akademik adalah penting di dalam proses perkembangan ilmu.
Tanpa ilmu, Adam menegaskan sesebuah negara itu akan menjadi mundur.
“Kita tidak mahu balik semula pada zaman kegelapan Eropah di mana ilmu disekat. Kita boleh melihat bagaimana mundurnya Eropah pada era itu,” kata penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris itu yang baru-baru ini digantung tiga semester oleh pentadbiran universiti.
“Apabila kebebasan akademik disekat, ia juga mencabul hak asasi manusia kerana kebebasan akademik adalah salah satu hak asasi manusia. Kita berhak untuk mencabar dan mengamalkan ilmu,” tambah beliau.
Diminta untuk memberi komen tentang pelbagai ugutan yang diterimanya, Adam berkata pihak-pihak yang mengugutnya tidak seharusnya membuat sesuatu yang terlampau ekstrem sehingga ke tahap mengancam nyawanya da keluarga.
“Mesejnya jelas, hujah lawannya hujah dan isu lawannya isu. Setiap yang saya lakukan itu bermula dengan isu. Ia bukan digerakkan oleh politik, atau untuk dapat wang. Ia digerakkan oleh isu kerana kami mahu orang dengar apa yang kami kata,” katanya.
“Kami ingin buka mata rakyat supaya sedar. Bukan untuk menghina sesiapa atau provoke masyarakat atau bangsa.
“Jika tidak dapat tunaikan tuntutan kami, tidak perlu pukul kami, berkasar, kerana kamu membawa imej parti politik dan kami membawa imej gerakan mahasiswa. Kamu orang yang berkuasa dan sedang mencari undi, bila kamu buat begitu, kamu harus fikir tentang reputasi kamu sebagai sebuah parti politik,” katanya.
Adam telah menjadi tumpuan ramai apabila beliau menurunkan bendera yang mempunyai imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di dalam satu perhimpunan di PWTC beberapa bulan lalu.
Akibat daripada tindakannya itu, pelbagai ugutan telh diterima beliau. Namun begitu beliau menjelaskan yang dia tidak sesekali menyesal dengan tindakannya itu kerana manifestasinya adalah apabila majoriti rakyat ketika ini telah sedar dan mula berbicara soal Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).
- mD
|