Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Kes Hasan Ali Bukti Umno Hebat Merosakkan Individu

Friday, 27 January 2012 13:45

.SHAH ALAM, 27 JANUARI, 2012: PAS Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh mereka terhadap keputusan PAS Pusat yang memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Dato’ Dr. Hasan Ali.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata ketepatan keputusan tersebut semakin terserlah melalui tindak-tanduk serta kenyataan-kenyataan Hasan sendiri kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian di dalam satu sidang media di Shah Alam yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abdul Rani Osman dan timbalannya, Khalid Samad.

“Adalah diingingatkan bahawa permasalahan dengan Hasan bermula sejak beliau tidak dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada tahun 2011. Sejak itu beliau mula mengambil sikap menyendiri dan mempertikaikan keseluruhan perjalanan PAS,” kata Hasbullah.

“Beliau mendakwa PAS tidak lagi dikuasai oleh golongan ulama sedangkan amat jelas tindakan beliau sendiri melanggar nasihat dan arahan ulama di dalam PAS.

“Kalau ada yang membelakangkan ulama, ianya dirinya sendiri dan bukan PAS,” katanya.

Menurut Hasbullah, kedudukan ulama dalam PAS terjamin dan diinstitusikan di dalam perlembagaannya melalui kewujudan Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama.

“Ini merupakan kedudukan yang jauh lebih mulia dan unggul berbanding kedudukan ulama di dalam Umno di mana disediakan Biro Agama yang setaraf dengan Biro Sukan.

“Dasar perjuangan PAS juga tidak berubah seperti terbukti dengan tiadanya apa-apa pindaan yang dibuat ke atas perlembagaannya. Adalah ‘common sense’ atau kefahaman asas bahawa sekiranya dasar sesebuah parti ingin ditukar, maka perlembagaannya perlu diubah.

“PAS tetap dengan dasarnya iaitu hanya Islam,” tambah Hasbullah.

Menurut Hasbullah, kemarahan Hasan semakin melonjak apabila mengetahui yang beliau tidak dicalonkan oleh PAS Gombak untuk kerusi Gombak Setia dalam pilihanraya akan datang.

Katanya, walaupun Hasan telah dijelaskan bahawa keputusan itu tidak muktamad dan banyak lagi kerusi yang boleh ditandingi beliau, kemarahan beliau terhadap PAS dan ahlinya tidak dapat dibendung lagi.

“PAS Selangor berharap rakyat Selangor tidak tertipu dengan kata-kata nista dari Hasan yang diberi galakan dan sokongan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) atas sebab-sebab kepentingan politik mereka.

“Umum menyedari, dalam soal merosakkan seseorang individu tiada yang lebih hebat dari Umno. Kes Hasan adalah bukti kehebatan Umno dalam soal ini,” katanya.
 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.