Insiden Ceramah ABU-Hindraf: Saksi Tampil Buat Laporan Polis

Dajmarizal Zolkipli   
Friday, 27 January 2012 16:18

KUALA LUMPUR, 27 JANUARI, 2012: Dua orang saksi hari ini tampil membuat laporan berkaitan insiden gangguan sekumpulan samseng ketika ceramah ABU–Hindraf di Jalan  Kebun, Kelang tempohari.


Enalini Devi Elumalai dan Sivaranjani A/P Manickam membuat laporan mereka di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dalam laporan yang dibuat, kedua dua saksi mendakwa kenderaan mereka dihalang oleh sekumpulan pemuda bermotosikal dari memasuki lokasi ceramah.

Mereka juga melihat seorang peserta ceramah berbangsa India dipukul dengan kayu dan topi keledar oleh samseng samseng berkenaan.

“Kami dapat lihat dari dalam kereta seorang pemuda india parah dibelasah oleh kumpulan samseng berkenaan,” Kata Enalini.

“Mereka juga mengeluarkan perkataan kesat untuk memaksa para pengunjung ceramah untuk beredar dari tempat berkenaan,” Katanya lagi.

Enalini turut mendakwa sebilangan dari samseng yang mengerumuni kawasan ceramah itu memakai baju-T sebuah parti politik.

“Saya dapat lihat ada daripada mereka yang memakai baju-T ‘UMNO-BN SELAMANYA’,” Kata Enalini.

“Kira kira 30 orang dari mereka juga dilihat berdiri di tepi jalan disekitar kawasan ceramah sambil memegang bendera Barisan Nasional yang bewarna biru dan menjerit, ‘keluar dari sini, jangan buat ceramah!’”, Katanya lagi.

Enalini berkata keputusan untuk membuat laporan polis ini diambil kerana tidak mahu insiden sebegitu berulang lagi.

“Kami melihat insiden ini sebagai sesuatu yang serius dan bahaya untuk keselamatan,” Kata Enalini.

Enalini juga berasa kesal kerana pihak polis gagal tiba lewat ke tempat kejadian dan gagal mengawal keadaan.

“Kami percaya, jika pihak polis datang awal dan mengambil inisiatif serius, insiden malam itu boleh dielakkan,” katanya lagi.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang turut hadir sewaktu laporan dibuat meluahkan kekecewaan beliau kerana mereka yang melakukan gangguan pada malam itu masih belum didakwa.

“Polis memang ada melakukan tangkapan untuk membantu penyiasatan, tapi kemudiannya mereka mereka ini dilepaskan begitu sahaja,” Kata Arutchelvan.

“Kami sudah membantu pihak polis dengan memberi mereka video yang mmepunyai rakaman insiden tersebut, ada juga nombor pendaftaran motosikal samseng samseng itu yang direkod, namun sehingga hari ini, masih tiada pendakwaan dilakukan,” tambahnya.

Arutchelvan juga berharap agar insiden berkenaan tidak akan berlaku lagi pada ceramah ceramah ABU yang akan dating.

“Kita ada lagi satu ceramah dalam waktu terdekat ini (28 Januari), saya harap tiada apa apa insiden buruk akan berlaku lagi,,” Kata Arutchelvan.

Sabtu lalu, sekumpulan samseng bertindak menganggu ceramah ABU-Hindraf yang sedang berlangsung. Mereka yang rata ratanya berbangsa Melayu membuat melakukan pelbagai provokasi sebelum salah seorang dari mereka mula mengugut penganjur agar menghentikan segera ceramah berkenaan. Pertengkaran mulut yang berlaku mengheret kepada pergaduhan yang mencederakan seorang daripada pengunjung ceramah.

 

 

- mD

 

 

 

 

 
Share on Myspace
Share