NFC- Zuraida Dakwa Salleh Cuba Rasuah Polis

Aidil Syukri   
Monday, 30 January 2012 15:26

.PETALING JAYA, 30 JANUARI, 2012: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini mendedahkan bahawa ahli perniagaan Datuk Shamsulbahrin Ismail telah diarahkan oleh Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail untuk merasuah polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana NFC.

Menurut Zuraida, Shamsubahrin telah dibayar sebanyak RM2.2 juta dan direkodkan sebagai ‘payment for corporate communications and media consultant’ di dalam rekod perakaunan NFC.

Katanya, melalui sumber yang beliau perolehi, Sahmsulbahrin dan Salleh telah diperkenalkan melaui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

(Beliau menarik semula kenyataan di atas melalui pembantu peribadinya selepas sidang media berakhir)

“Di antara perkara-perkara yang dipersetujui untuk diatur adalah pesanan sebanyak 200 ekor lembu dara dari sebuah syarikat di Afrika,” kata Zuraida.

“Selain itu, perkara lain yang turut dipersetujui adalah Salleh akan dipertemukan dengan pegawai tertinggi polis di Bukit Aman untuk permudahkan siasatan dan menguruskan pegawai polis dan SPRM,” tambah beliau.

Tambah Zuraida, Salleh telah kecewa dengan pembekuan akaun NFC dan juga tidak dapat kepastian dari Shamsulbahrin bahawa pihak polis dan SPRM telah diurus lalu menuduh Shamsulbahrin cuba memerangkap dan menipunya.

Hal tersebut telah menyebabkan satu siri siasatan dan tuduhan terhadap Shamsulbahrin dan pembekuan akaun semua syarikat beliau termasuk akaun isteri dan keluarga.

“Merasakan ini adlaah satu penganiayaan terhadap beliau dan keluarga maka Shamsulbahrin nekad untuk mendedahkan dan membawa bukti-bukti yang ada di tangan beliau sepanjang berurusan dengan Salleh dan NFC.

“Pendedahan ini juga berkemungkinan besar akan membuktikan penglibatan Datuk Shahrizat Jalil dalam skandal projek lembu ini,” katanya.

Zuraida turut menambah, pesanan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirim Salleh kepada Shamsulbahrin akan digunakan sebagai bukti kukuh wujudnya unsur rasuah dan sogokan dari NFC kepada polis.

Katanya, pada 27 Januari yang lalu, Shamsulbahrin telah memfailkan satu laporan polis mendakwa Salleh telah mengarahkan beliau merasuah pihak polis untuk menutup kes NFC.

“Saya percaya rakyat Malaysia seluruh negara merasa amat kecewa kerana hingga sekarang Menteri Kewangan dan Menteri Asas Tani masih belum berani membuat laporan polis terhadap Salleh dan NFC yang jelas telah menyelewengkan wang rakyat.

“Sekiranya Kementerian terbabit dan kerajaan BN masih lagi gagal untuk bertindak, ini membuktikan bahawa kerajaan BN Umno menjadi sekutu penyelewengan dan perompak besar rakyat Malaysia,” katanya.
 

 

 

 

 
Share on Myspace
Share