'Ang Pow Putih', Perkasa Akui Tersilap

Aidil Syukri   
Wednesday, 01 February 2012 17:16

.KUALA LUMPUR, 1 FEBRUARI, 2012: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Ibrahim Ali hari ini berkata Perkasa mengambil iktibar mengenai komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu ‘ang pow’ putih pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru CIna anjuran Perkasa.

Kata Ibrahim, insiden tersebut menjadi pengajaran kepada Perkasa supaya lebih berhati-hati supaya tidak menyentuh sensitiviti budaya kaum lain pada masa hadapan.

“Ya, memang benar ianya satu pengalaman kepada Perkasa dan semua pihak untuk lebih berhati-hati supaya sesuatu tindakan tidak menyentuh sensitiviti budaya kaum tertentu,” kata Ibrahim.

“Perkasa juga menghormati dan bersetuju dengan komen Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong bahawa satu kaum perlu peka dan sensitive akan budaya satu kaum lain,” tambah beliau.

“Bagaimanapun Perkasa juga berharap kenyataan Ketua Pemuda MCA itu bukan hanya ditujukan kepada Perkasa, sebuah NGO Melayu, tetapi juga ditujukan kepada NGO atau pihak dari kaum lain juga,” katanya.

Menurut Ibrahim, kaum lain juga telah bukan sedikit menyentuh sensitiviti orang Melayu terutamanya berhubung isu Islam, namun mereka dilihat lebih susah untuk memohon maaf.

Apa pun kata Ibrahim, komen yang dibuat oleh Wee itu dilihat secara positif oleh Perkasa.

“Perkasa mengakui kesilapan yang tidak disengajakan dalam isu ‘ang pow’ sampul putih ini. Hal ini sama juga dengan apa yang dilakukan akhbar The Star tahun lalu yang mengiklankan menu babi panggang di ruangan menu Ramadhan,” katanya.

Katanya, ketika itu hanya Perkasa dan beberapa NGO Melayu sahaja yang mengkritik tindakan akhbar tersebut.

“Pemimpin-pemimpin MCA, Gerakan, DAP, PM, PKR tidak serang The Star seteruk Perkasa kena serang dalam isu ini. The Star kata mereka terlepas pandang boleh. Tapi bila Perkasa kata tidak sengaja terberi dengan sampul putih mengapa tidak boleh diterima pula?” soal Ibrahim.

“Semuanya ‘double standard’,” katanya.

Tambah beliau, Perkasa merasa sedih kerana isu tersebut diperbesarkan sedangkan matlamat Perkasa menganjurkan sambutan tersebut untuk mewujudkan perpaduan dipandang sepi terutamanya media berbahasa Cina.

Beliau turut mempersoalkan mengapa wartawan Cina yang membuat liputan pada hari tersebut tidak membuat teguran kepada beliau.

Katanya lagi, ketika sidang media pada hari tersebut juga isu tersebut tidak dibangkitkan oleh wartawan.

Ibrahim menyimpulkan yang isu tersebut sengaja dihangatkan untuk agenda politik pihak-pihak tertentu.

“Perkasa akan pastikan yang ia tidak akan berulang lagi. Pada kami, isu ini sudah selesai. Terpulanglah kepada siapa sahaja yang masih tidak puas hati,” katanya.
 

 

 

 

 

 

 
Share on Myspace
Share