|
PUTRAJAYA, 3 FEBRUARI, 2012: Pengerusi-pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di peringkat negeri hari ini menolak bulat-bulat cadangan pengerusi parti tersebut, Datuk Zaid Ibrahim yang ingin membubarkan parti.
Mereka terdiri daripada ketua-ketua negeri Kedah, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.
Pengerusi KITA Kedah, Zamil Ibrahim berkata, kenyataan yang dibuat oleh Zaid semalam tidak mencerminkan pandangan negeri-negeri yang mereka pimpin.
Katanya, KITA peringkat negeri Kedah membantah sekeras-kerasnya pengumuman yang dibuat Zaid semalam.
"Adalah lebih baik sekiranya beliau meletak jawatan dan meninggalkan parti. Ada ramai lagi pemimpin yang berkaliber yang boleh memimpin KITA,” kata Zamil.
"Saya kecewa mempunyai seorang pemimpin seperti Zaid," katanya.
Katanya, KITA tidak perlu mengusulkan undi tidak percaya pada Zaid.
"Bagaimanapun, jika Zaid merasakan bahawa dia telah gagal untuk melaksanakan tugasnya sebagai ketua, lebih baik dia meninggalkan parti," kata Zamil kepada wartawan.
"Jika dia seorang yang berprinsip, dia harus meletak jawatan dan keluar dari parti," katanya.
Sementara itu Pengerusi KITA Johor, Dr Zahid Yusof pula menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu untuk menyiasat punca untuk tindakan Zaid.
Zahid berkata, alasan yang diberikan oleh Zaid tidak merujuk kepada prinsip asas parti.
Beliau merasakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Zaid itu lebih berunsurkan peribadi.
"Kami di peringkat Johor melihat bahawa terdapat unsur-unsur politik terselindung di sebalik keputusan Zaid untuk membubarkan parti,” kata Zahid.
“Saya minta setiap ahli supaya tidak cemas dengan perkembangan ini dan menumpukan kepada usaha untuk pertahankan parti,” katanya.
Zaid Ibrahim semalam mengeluarkan kenyataan menerusi laman web parti tentang pembubaran parti tersebut.
|