|
Bidang politik di negara ini adalah salah satu bidang yang menerima impak yang amat tinggi akibat pengunaan media sosial. Kebanjiran blogger dan cybertrooper dalam pelbagai platform media sosial menjadikan sfera siber in bukan sahaja meriah tetapi juga bergolak. Twitwar dan blogwar bukan sahaja berlaku di kalangan penganalisis dan pemerhati politik, tetapi turut melibatkan ahli-ahli politik. Ini sudah tentu sahaja satu fenomena menarik kerana kali ini perang siber tidak lagi digerakkan oleh pihak ketiga atau jentera semata-mata, tetapi para pemimpin parti politik, baik dari parti BN, PR mahupun Third Force; satu fenomena yang tidak terjadi sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum 2008.
Malaysia Social Media Week (MSMW) 2012 yang berlangsung di PWTC dari 13 Februari - 17 Februari ada di antara usaha yang baik oleh Social Media Chambers dengan kerjasama Kementerian Penerangan untuk mempeluaskan perspektif orang ramai mengenai potensi sebenar media sosial. Tahun ini merupakan tahun ke-4 penganjurannya dan ia diisi dengan pelbagai kupasan menarik mengenai peranan media sosial dalam pelbagai bidang termasuk dalam mempengaruhi lanskap politik tempatan.
Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan satu contoh dan komitmen yang baik dalam mengoptimumkan penggunaan media dalam talian sebagai salah satu pendekatan untuk menghampirkan diri dengan rakyat. Bermula dengan blog 1Malaysia yang diwujudkan pada tahun 2008 untuk berkongsi huraian dan menggalakkan percambahan fikiran mengenai gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, hari beliau bukan sahaja telah mempunyai fan page Facebook, profile Twitter dan menggunakan blackberry dan i-pad bagi memudahkan interaksi dengan rakyat dilakukan secara berterusan dan berkesan.
Hari ini, Fan page Facebook Najib Razak mempunyai 954 162 orang peminat dan profile Twitter @NajibRazak mempunyai 441 850 pengikut, membuktikan kesungguhan Perdana Menteri menggunakan media sosial sebagai satu cara merapati rakyat. Akaun #TanyaNajib membolehkan rakyat berinteraksi secara terus dengan PM. Beliau tidak sekadar berinteraksi di laman siber, tetapi turut menterjemahkan interaksi dalam talian beliau ke dalam bentuk pertemuan fizikal ‘Mari Berhubung, Mari Berjumpa’ melalui sejumlah tweetups dan pertemuan dengan rakan on-line beliau. Malah, dalam Ucapan Dasar beliau sebagai Presiden UMNO 2011, Datuk Seri Najib telah menghuraikan fenomena media dalam talian di dalam salah satu dari 10 detik yang menjadi “game changer” kepada UMNO. Selain Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin juga boleh dianggap sebagai ikon media baharu dalam dunia politik. Aktif dalam mendekati rakyat melalui laman sosial, Hishammuddin sering mengemas kini status dan menjawab sendiri tweet pengikutnya. Manakala Khairy selain aktif berbahas dan mengemuka pandangan melalui Twitter, turut mempunyai blog sendiri.
Dalam ucapan beliau di salah satu forum semasa Minggu Sosial Media Malaysia menjelaskan bahawa hari ini media sosial bukan sahaja sudah jadi sebuah medium massa untuk komunikasi, tetapi juga ia telah menjadi 'game-changer' di dalam arena politik Malaysia.
Sebagai garis panduan kepada ramai ahli politik yang sedang berusaha memanfaatkan media sosial, beliau turut berkongsi sedikit garis panduan agar engagement dengan rakyat dapat dilakukan dengan efektif. Garis panduan yang disebut sebagai 8C adalah seperti di bawah:
1. Constant – menggunakan sendiri media sosial dan memanfaatkannya secara konsisten
2. Consistent and credibility – menghantar mesej yang konsisten dan tidak berdolak dalik
3. Cool and contemporary – sesuai dengan cita rasa dan memaparkan kisah terkini
4. Candid – bersahaja, santai dan menjadi diri sendiri ketika berinteraksi
5. Careful- berhati-hati, tidak terburu-buru memberi respon tanpa mengambil kira akibat, sensitiviti dan risiko
6. Conciliatory – Berdaya penarik melalui tindakan yang meyelesakan, berfikir sebelum memberi respon dan tidak terlibat di dalam ‘twitwar’ yang merugikan
7. Convertible- menterjemahkan interaksi dalam talian ke dalam kehidupan sebenar dan pertemuan fizikal
8. Change – sedia untuk berubah berdasarkan trend semasa
Media sosial dilihat membuktikan keupayaan untuk mencakupi segala aspek. Tidak dapat dinafikan ia memang tidak boleh dibandingkan dengan ‘social presence’ seseorang pemimpin tetapi ia wajar dilihat sebagai salah satu cara untuk berinteraksi dengan cara yang mudah dan pantas. PM telah menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan acuan penggunaan media sosial yang baik dalam bidang politik di negara ini.
Melaluinya peluang dan ruang rakyat untuk berinteraksi dengan pemimpin dibuka seluas-luasnya. Meskipun sosial media tidak mampu menggantikan 'personal engagement' atau penglibatan peribadi secara fizikal, tetapi ia mempunyai kepentingan yang sama dari segi pembentukan persepsi, pembinaan imej, komunikasi dan yang paling penting interaksi dengan orang ramai, terutama dalam era Politik Baru hari ini.
Sepatutnya lebih ramai pemimpin BN mencontohi Datuk Seri Najib. Pemimpin BN dan kerajaan perlu segera belajar memanfaatkan media sosial ini. Jangan malas dan terus jahil. Jika masih ada pemimpin yang malas dan tidak mahu beradaptasi, maka itu adalah petanda bahawa mereka tidak lagi relevan untuk menjadi pemimpin hari ini, apa lagi untuk menjadi pemimpin masa hadapan negara ini.
*Artikel di atas merupakan pandangan peribadi penulis
|