Menjelang PRU13: Wawancara Bersama Zuraida Kamaruddin

Aidil Syukri   
Tuesday, 21 February 2012 10:06

Berikut ialah wawancara Malaysian Digest bersama Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkenaan rancangan beliau menghadapi Pilihanraya Umum ke 13.

 

Malaysian Digest: Menjelang Pilihanraya Umum yang ke-13, adakah YB akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang?


Zuraida Kamaruddin: Saya tidak boleh kata samada saya bertanding atau tidak pada PRU akan datang kerana ianya terpulang kepada pimpinan pusat untuk menentukan. Namun begitu kerja-kerja sudah dibuat secara berterusan di Ampang seperti memantapkan jentera parti, menjaga kawasan dan bertemu dengan penduduk Ampang. Ini semua dibuat secara berterusan sejak 2008. Penduduk Ampang juga sudah sebati dengan saya. Mereka sudah kenal saya dan boleh berkomunikasi. Jadi di peringkat Ampang persediaan agak mantap dan sambutan yang diterima juga menunjukkan tanda-tanda positif. Jadi tidak kira siapa jua yang akan bertanding nanti Insyaallah kami akan dapat mengekalkan kemenangan.

 

MD: Pada PRU yang lalu, YB menang dengan majoriti lebih 3000. Jadi apa strategi YB, jika bertanding semula di Ampang, untuk menambahkan lagi majority?


ZK: Pada tahun 2008 kita bertanding sebagai underdog. Walaupun saya ketika itu sudah menjadi ketua wanita PKR, namun masih ramai yang tidak mengenali saya. Jadi saya menggunakan strategi yang agak kreatif, yang unconventional. Contohnya saya berdiri di lampu isyarat setiap pagi. Dengan cara itu orang mengenali saya dengan cepat. Jadi untuk PRU yang akan datang saya akan teruskan dengan pendekatan tersebut (unconventional). Selain itu perkhidmatan saya selama menjadi wakil rakyat di Ampang dan di parlimen akan saya bentangkan untuk rakyat menilai sendiri prestasi saya sepanjang berkhidmat.

 
Keduanya, saya sentiasa memastikan yang saya ini wakil rakyat yang mudah didampingi. Contohnya jika saya ada masa yang terluang, say akan buat sarapan santai dengan penduduk Ampang. Dengan cara ini rakyat dapat menilai yang YB ini tiada boundary dari segi cara hidup.

 

Bagaimana penerimaan warga Ampang terhadap YB?


Alhamdulillah masyarakat Cina menerima saya dengan baik. Saya juga boleh bertutur bahasa mereka sikit jadi mereka rasa sangat impress. Masyarakat India begitu juga. Saya engage dengan penduduk secara frequent. Namun begitu tidak dinafikan yang masyarakat Melayu agak sukar untuk menerima saya kerana mungkin mereka ini masih berpegang kepada kepercayaan yang hanya Umno dan Barisan Nasional sahaja yang boleh membela nasib mereka. Walaubagaimanapun kita tetap berusaha mencuba untuk mendampingi mereka ini.

 

Adakah YB optimis dapat mempertahankan semula kerusi Ampang?


Dengan kerja-kerja yang telah dilaksanakan selama ini Insyaallah. Saya optimis.

 

Apakah perancang YB di Ampang?


Selama ini kita memang sentiasa engage program dan memantapkan jentera parti. Ini kerana sebelum 2008 kita tidak mempunyai jentera yang teratur. Ketika itu mood rakyat adalah untuk membuat perubahan dan mengundi kita. Jadi apabila sudah menang jentera kita perlu terus dimantapkan. Satu kerja yang teratur harus ada. Kita tidak boleh meremehkan kemenangan tersebut (take it for granted). Jadi pasukan saya di Ampang setiap minggu turun padang memberikan focus kepada pengundi.


 

Komen YB mengenai Umno BN yang dilihat memberikan focus kepada Selangor?


Itu memang jelas kerana Perdana Menteri sudah kata yang Umno BN akan lakukan apa sahaja untuk merampas semula Selangor. Kita tahu Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia. Oleh itu Umno BN tahu jika mereka gagal mendapatkan semula Selangor maka mereka tidak akan bertahan. Namun saya optimis dari segi performance kerajaan negeri secara keseluruhannya, rakyat akan terus memberikan mandat kepada Pakatan untuk mentadbir Selangor.

 

Bagaimana YB melihat peranan wanita di dalam politik negara?
 

Peranan wanita itu penting kerana hampir separuh pengundi di Malaysia adalah wanita. Pada pendapat saya, satu gagasan wanita yang lebih agresif harus diwujudkan untuk memperjuangkan nasib orang perempuan di negara ini. Jika kaum wanita tidak dimajukan maka pembangunan negara akan tempang. Wanita adalah nation builder, yang melahirkan anak untuk generasi akan datang. Jadi jika kualiti wanita tidak dipertingkatkan, maka generasi akan datang akan menjadi generasi yang tidak berkualiti. Oleh itu, perlu ada satu usaha untuk mempertingkatkan mutu wanita supaya mereka menjadi ibu yang hebat yang melahirkan generasi yang hebat. Harus diingat yang sumbangan wanita kepada negara adalah besar.

 

Kita sering mendengar Umno BN mendakwa yang Pakatan tidak henti-henti menyalahkan mereka di dalam apa jua isu. Tapi dalam masa yang sama, contohnya di Selangor, kita dapati mereka juga sebenarnya menggunakan strategi yang sama iaitu ‘put all the blames’ kepada Pakatan. Komen sikit YB.


Saya rasa ini satu tindakan yang tidak bijak. Ini kerana jika dibandingkan dengan Pakatan yang baru tiga tahun mentadbir dengan BN yang 50 tahun mentadbir, untuk meletakkan kesalahan kepada kita adalah sesuatu yang sangat tidak masuk akal dan lucu. Ini menunjukkan seolah-olah mereka tiada idea baru untuk menunjukkan mereka ada pembaharuan dalam parti mereka untuk rakyat terima mereka kembali. Jadi jika mereka kata kenapa Pakatan tidak buat ini, kita pon tanya dia ‘kau 50 tahun memerintah kenapa tak buat?’

 
Jadi saya kecewa dengan kaliber pemimpin begini. Pemimpin yang seolah-olah tidak boleh fikir sesuatu yang berbeza yang boleh buat rakyat beri mereka satu lagi peluang. Pada saya taktik ini adalah dangkal dan akan menikam mereka sendiri. Backlash.

 

Harapan YB?


Sebagai pemimpin masyarakat, tujuan saya sertai politik adalah untuk menjaga kebajikan rakyat. Dan atas dasar itu saya meletakkan satu harapan bahawa setiap pemimpin harus fikirkan kebajikan rakyat. Kita kena tolak politik lama yang gunakan kedudukan dan jawatan untuk mendapatkan kesenangan untuk diri sendiri. Jika setiap pemimpin memikirkan kebajikan rakyat, saya percaya yang persepsi masyarakat yang menganggap politik itu kotor akan berubah. Masyarakat tidak akan lagi memandang sesiapa yang masuk politik itu kotor. Saya mahu alih persepsi tersebut. Saya harap persepsi itu akan dapat diubah.

 

 

 

- mD

 

 

 

 

 
Share on Myspace
Share