Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Langat 2: Adun Personal Sikap Degil Kerajaan Selangor

  
Tuesday, 10 July 2012 17:30

SHAH ALAM: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional Selangor hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkan terlalu 'degil' dalam isu berkenaan bekalan air bersih di negeri ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kassim, berkata ini kerana kerajaan negeri sehingga kini tidak membenarkan kerajaan pusat membina Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dilihat akan menjejaskan pembangunan serta rakyat di negeri ini pada masa depan.

Beliau yang mencelah ketika perbahasan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini berkata kerajaan negeri sebaliknya lebih menggunakan hujah bahawa pembinaan loji berkenaan akan meningkatkan tarif air di negeri ini.

"Apa salahnya kerajaan negeri benarkan pembinaan loji rawatan air berkenaan bagi menambahkan bekalan air bersih di negeri ini.

"Jika kerajaan negeri mengaitkan mengenai kenaikan (tarif) air, kerajaan negeri ada hak untuk menentukan kadar tarif itu memandangkan kerajaan negeri menerusi KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) mempunyai 30 peratus saham dalam Syabas," katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Isa turut menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak faham isu sebenar mengenai masalah bekalan air di negeri ini yang mana isunya adalah berkaitan dengan sumber air bersih bukannya air mentah. 


- Bernama




 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.