|
|
|
Friday, 13 July 2012 19:41 |
PUTRAJAYA: Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota parlimen DAP Tony Pua (gambar) berhubung dakwaannya bahawa tender bagi kuota bekalan tenaga solar diberi kepada syarikat yang tidak berkelayakan.
Walaupun beliau enggan mengulas persoalan yang ditimbulkan setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu tentang isu berkenaan, pengerusi SEDA Tan Sri Dr Fong Chan Onn bagaimanapun berkata kenyataan Pua itu merupakan tuduhan serius terhadap beliau.
Fong berkata beliau dimaklumkan bahawa penasihat undang-undang Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan meneliti kenyataan Pua itu sebelum membuat keputusan tentang tindakan yang akan diambil.
"Ini untuk menentukan sama ada SEDA dan kementerian boleh mengambil tindakan undang-undang (terhadap Pua)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fong, yang enggan memberi penjelasan terperinci tentang proses pemilihan syarikat dan kelayakan yang diperlukan, berkata "para peguam sedang menelitinya".
Dalam kenyataannya baru-baru ini, Pua mendakwa anak perempuan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mendapat bahagian terbesar dalam skim tenaga boleh diperbaharui alternatif yang baru diperkenalkan.
Beliau mendakwa Suzi Suliana menguasai 32.4 peratus atau 45.9 megawatt daripada quota yang ditetapkan bagi tenaga solar melalui 'feet in tariff (FiT), jauh lebih banyak daripada had 1MW hingga 5MW yang ditetapkan untuk syarikat.
Terdahulu, Fong berkata pemilihan pemohon dibuat secara telus melalui system dalam talian.
SEDA adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari 2011 untuk mentadbir dan mengurus pelaksanaan mekanisme FiT.
- Bernama
|