|
|
|
Tuesday, 17 July 2012 11:15 |
KUALA TAHAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merancang mengaktifkan semula kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membanteras pencerobohan dan kegiatan haram di kawasan Taman Negara Pahang di sini.
Penguasa Taman Negara Pahang Fakhrul Hatta Musa berkata saiz taman yang luas menyukarkan Perhilitan untuk mengekang aktiviti haram terbabit yang lazimnya membabitkan pendatang tanpa izin.
"Mereka ini menceroboh hutan untuk memburu hidupan liar serta menebang pokok gaharu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran," katanya kepada Bernama selepas program Kembara bersama Media dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Program dari 13 hingga 15 Julai itu berlangsung di Taman Negara Pahang dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan bertujuan mendedahkan wakil media kepada alam sekitar dan hidupan liar serta tugas harian anggota Perhilitan.
Mengulas lanjut, Fakhrul Hatta berkata Perhilitan pernah menjalin kerjasama dengan ATM dari 2002 hingga 2007, yang dihentikan kerana kos tinggi.
Beliau bagaimanapun menegaskan kes pencerobohan di kawasan taman negara itu adalah terkawal dan Perhilitan berjaya menahan penceroboh yang turut melibatkan orang tempatan.
Katanya Perhilitan juga bercadang mengadakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti polis, imigresen dan kastam memandangkan kes pencerobohan membabitkan pelbagai kesalahan undang-undang.
"Demi memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan cepat, Perhilitan turut merancang untuk menggunakan kenderaan 'jet ski' bagi tujuan pemantauan di laluan sungai di seluruh kawasan Taman Negara Pahang," katanya.
Mengenai Taman Negara Pahang, Fakhrul Hatta berkata taman itu yang bersempadankan negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan meliputi kawasan seluas 248,121 hektar iaitu kira-kira 57 peratus daripada keluasan keseluruhan taman negara.
"Sebahagian besar muka buminya merupakan kawasan berbukit-bukau dengan kemuncaknya terdiri daripada Gunung Teku, Gunung Tangga Dua Belas dan Gunung Tahan.
"Sungai Tahan yang bermula dari Gunung Tahan merupakan sungai utama yang membentuk sistem saliran di dalam Taman Negara Pahang," katanya menambah taman itu kaya dengan fauna dan flora yang jarang dilihat di tempat lain.
Taman negara itu diurus pusat pentadbiran yang terletak di Kuala Tahan yang juga pintu masuk utama iaitu melalui Sungai Relau.
"Selain itu, beberapa pos kawalan juga telah diwujudkan di kawasan-kawasan sempadan seperti Kuala Yu, Kuala Terengganu, Kuala Keniam dan beberapa kawasan lain untuk memelihara taman negara daripada sebarang kegiatan pencerobohan," katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Yamuna Perimalu yang turut serta pada program tersebut, berkata tujuan utama kembara berkenaan adalah untuk merapatkan hubungan antara media dan kementerian.
Program itu juga platform terbaik kementerian untuk menyampaikan maklumat kepada orang awam berkenaan usaha yang dijalankan kementerian dan agensinya dalam melestarikan kehijauan di seluruh negara.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Taman Negara Pahang boleh hubungi Pejabat Penguasa Taman Negara Pahang di talian 09-266 1122 atau melayari laman sesawang www.wildlife.gov.my.
- Bernama
|