Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Helah Kelirukan Rakyat Daripada Krisis Air

  
Tuesday, 17 July 2012 11:17

SHAH ALAM: Tindakan Kerajaan Selangor mahu mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dianggap sebagai helah untuk mengelirukan rakyat daripada krisis air di negeri itu.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata tindakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih pengurusan SYABAS sebenarnya langsung tidak membawa kesan terhadap langkah untuk menangani krisis air di negeri itu.

“Kita ingin tanya, apakah dengan mengambil alih SYABAS masalah air di Selangor ini dapat diatasi? Apakah jaminan yang dapat beliau berikan bahawa rizab air dapat ditingkatkan sebanyak 10 peratus dengan pengambilalihan ini.

“Saya harap beliau tidak mempolitikkan isu air ini semata-mata untuk kepentingan diri dan parti tanpa menghiraukan nasib rakyat,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Akhbar kelmarin melaporkan SYABAS bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan krisis air semakin serius di Lembah Klang sejak April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Datuk Ruslan Hassan, berkata cadangan itu dikemukakan berikutan rizab air di kawasan tadahan sekitar Selangor berada pada peringkat kritikal menyebabkan banyak penduduk di tiga kawasan berkenaan terputus bekalan air.

Pesuruhjaya Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Indra Putra Ahmad, pula menyifatkan tindakan pengambilalihan SYABAS sebagai bukti kerakusan kerajaan PKR.

“Kita ucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor yang membuktikan betapa kerakusan mereka mengatasi batasan membela kebajikan rakyat.

“Bukti sudah di depan mata bahawa penduduk terputus bekalan air tetapi mereka tetap mengutamakan politik daripada mengatasi masalah,” katanya.

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.