JOHOR BARU: Demi tugas, nyawa seorang anggota bomba hampir tergadai apabila dia nyaris terjatuh dari ketinggian empat meter ketika cuba menyelamatkan mangsa kebakaran di Jalan Lawa 9, Taman Pelangi Indah, di sini, semalam. Tarmizi Ishak, 30, yang lengkap dengan alat bantuan pernafasan, menempuh detik cemas itu sejurus memecahkan tingkap di tingkat atas banglo berkenaan sebelum meluru masuk ketika ruang dalam kediaman itu penuh diselubungi asap hitam.
Beliau bersama sembilan rakan setugasnya dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya diarah ke lokasi selepas menerima panggilan jam 8:18 pagi.
Pasukan berkenaan yang tiba di banglo terbabit kira-kira 17 minit kemudian, turut dibantu sukarelawan bomba Ulu Tiram.
“Sejurus berjaya memecahkan kaca setebal setengah inci itu dengan kapak, saya terus masuk kerana menyangka di sebelah sana ada lantai, tetapi tersilap kerana ia ruang kosong. Ketika itu, tumpuan kami hanya mahu menyelamatkan mangsa yang dikatakan terperangkap dalam rumah.
“Lebih memburukkan keadaan, asap tebal membuatkan kami tidak dapat melihat keadaan di dalam rumah walaupun berbekalkan lampu suluh,” kata Tarmizi ketika ditemui selepas operasi berkenaan.
Beliau bernasib baik kerana sempat mencapai tangan rakan setugas, Sufian Mohd Lis, 35, yang berada di belakang, namun wanita di dalam kediaman terbabit, Loh Hui Jin, 24, yang berjaya diselamatkan mereka, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ibrahim (HSI) dipercayai akibat terhidu asap tebal.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Syed Nasir Syed Abu Bakar, berkata mereka dimaklumkan pemilik banglo berkenaan berada di Ipoh, Perak ketika kejadian, tetapi masih ada tiga lagi penghuni dalam kediaman itu.
“Kami terpaksa memecahkan cermin setebal satu inci sebelum memotong mangga kunci. Mangsa ditemui terduduk tidak sedarkan diri di belakang sofa berdekatan pintu di tingkat atas. Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa turun menggunakan tangga sebelum dikejarkan ke hospital.
“Kami kemudian berusaha mengesan dua lagi penghuni, berusia sembilan dan 14 tahun sebelum mendapati dua beradik itu sebenarnya sudah ke sekolah sebelum kejadian,” katanya sambil menambah pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Teman lelaki mangsa, Kae Yong Yue, 24, juga dihantar ke HSI selepas terhidu asap ketika cuba memasuki banglo berkenaan melalui balkoni untuk menyelamatkan Hui Jin. Api dipercayai bermula di tingkat bawah banglo, menyebabkan mangsa lari ke tingkat atas tetapi gagal membuka pintu yang berkunci.
- Berita Harian