Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Orang Asli Felcra Sungai Sampo Dapat Durian Runtuh RM14,000 Seorang

  
Wednesday, 01 August 2012 22:29

SEREMBAN: Sebanyak 96 ketua keluarga Orang Asli yang menjadi peserta Projek Felcra Berhad Kampung Sungai Sampo 1, Jempol dekat sini akan menerima durian runtuh RM14,000 seorang.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata durian runtuh ialah dividen interim pertama hasil keuntungan Felcra bagi enam bulan pertama tahun ini dan peserta dijangka menerima pembayaran mulai esok.

Mohamad berkata kadar dividen itu ditentukan Felcra mengikut keluasan tanah yang diusahakan.

"Bagi Orang Asli di Sungai Sampo ini mereka memiliki 10 ekar tanah yang diusahakan oleh Felcra bagi setiap ketua keluarga, jadi nilai dividen yang diberikan kepada mereka adalah RM14,000 seorang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Katanya dividen yang diterima Orang Asli di Sungai Sampo itu adalah yang tertinggi diberikan kepada peserta Felcra di negeri ini.

Terdapat lebih kurang 10,000 peserta di negeri ini yang akan menerima dividen berjumlah lebih  RM17.6 juta yang diagihkan mengikut keluasan tanah
masing-masing.

Isnin lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdalmengumumkan bayaran dividen berjumlah RM400 juta kepada 85,000 peserta Felcra seluruh Negara.

Sementara itu, Mohamad berkata Perbadanan Menteri Besar (MBI), sebuah syarikat di bawah kerajaan negeri, turut menerima dividen akhir tahun 2011
daripada Felcra berjumlah RM11.6 juta.

Katanya dividen itu adalah hasil keuntungan Felcra yang menguruskan 4,046 hektar tanah milik MBI.

"Hasil daripada pengurusan ladang yang baik dan disokong oleh harga kelapa sawit yang baik sepanjang tahun lalu MBI menerima dividen tahun lepas sebanyak
RM11 juta iaitu peningkatkan lebih 20 peratus berbanding tahun 2010 iaitu hanya RM9 juta lebih," katanya.


- Bernama




 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.