Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

NGO Asean Desak Pemimpin Myanmar Tamat Keganasan Terhadap Rohingya

  
Wednesday, 01 August 2012 22:33

Aung_San_Suu_Kyi7SEPANG: Sebanyak 12 wakil badan bukan kerajaan (NGO) Asean hari ini berlepas ke Myanmar bagi mendesak kerajaan itu lebih bersungguh-sungguh dalam menghentikan keganasan terhadap umat Islam Rohingya di sana.

Antara NGO berkenaan ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pertubuhan Ikram Malaysia, 'Al-Ihsan Association For Islamic Education and Development Cambodia' dan 'Young Muslims Association of Thailand'.

Setiausaha Agung Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid yang mengetuai delegasi itu, berkata pertemuan dengan Presiden Myanmar Thein Sein dan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi (foto) sedang diatur, bagi membincangkan isu tersebut.

"Kita juga akan meminta kerajaan Myanmar untuk membenarkan agensi luar menyampaikan bantuan kepada mereka ini," katanya kepada pemberita di Terminal Penerbangan Tambang Murah, di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata delegasi itu juga akan berjumpa dengan ketua agama Buddha di sana dan menteri hal ehwal agama bagi menyampaikan surat daripada Pertubuhan Sami Buddha Siam Malaysia yang turut membantah keganasan tersebut.

Sepanjang tiga hari di sana, delegasi itu dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan NGO tempatan akan menyampaikan bantuan kemanusiaan  kepada yang memerlukan.
"Situasi sekarang sesiapapun tak boleh masuk, kalau bolehpun dengan kawalan dan pelarian masih terputus bekalan makanan sejak dua bulan.

"Kita mendapat maklumat mati kebuluran sudah mula menjadi fenomena setiap hari terutama di sempadan Bangladesh/Arakan," katanya.

Mohd Azmi turut meminta Bangladesh membuka sempadan dengan Myanmar atas dasar kemanusiaan, memandangkan perkara itu membabitkan situasi hidup dan mati.
"Ia bukan sahaja menyebabkan pelarian tidak boleh lari ke Bangladesh, tetapi bantuan juga tidak boleh masuk melalui pintu itu," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan Malaysia mengusulkan sidang tergempar Asean untuk membincangkan mengenai keganasan itu.

Selepas ini, satu misi khas akan diadakan bagi menyampaikan bantuan makanan termasuk beras, tepung dan gula sebanyak lima kontena untuk lebih 170,000 pelarian Rohingya di Miesod iaitu sempadan Thailand/Myanmar Ahad ini, katanya.


- Bernama

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.