Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Najib Minta Chong Wei Cipta Sejarah Dengan Rangkul Emas Pertama Negara

  
Saturday, 04 August 2012 09:01

lee_chong_wei9KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak telah meminta Datuk Lee Chong Wei (foto) melakarkan sejarah negara dengan merangkul pingat emas selepas melangkah ke final acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Olimpik 2012 London.

"Baru sahaja bercakap dengan Chong Wei, mengucap tahniah kepadanya atas kemenangan hebat! Beritahu beliau supaya mencipta sejarah bagi Malaysia dengan memenangi emas," kata Perdana Menteri dalam tweetnya hari ini.

Chong Wei, pemain nombor dua dunia, mara ke final selepas menjinakkan pemain China, Chen Long, 21-13, 21-14 pada perlawanan separuh akhir malam ini.

Chong Wei, selaku pilihan utama acara itu pada Sukan Olimpik kali ini, akan menentang juara bertahan Lin Dan dari China pada perlawanan akhir Ahad ini.

Lin Dan, yang mengalahkan Chong Wei pada final edisi Sukan Olimpik lepas di Beijing pada 2008, turut mara ke perlawanan akhir dengan mengalahkan Lee Hyun Il dari Korea Selatan, 21-12, 21-10, pada satu lagi perlawanan separuh akhir.


- Bernama

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.