Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Lelaki Cedera Ditetak Dua Lelaki Yang Datang Ke Tempat Berniaga

  
Friday, 10 August 2012 15:51

ALOR SETAR: Seorang lelaki cedera di beberapa bahagian badan akibat ditetak dengan parang oleh dua lelaki yang datang ke tempatnya berniaga di Jalan Tun Razak di sini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, Khairil Ezzuan Nasidan, 26, mengalami kecederaan di kepala, tangan kiri dan telinga kanan akibat dilibas oleh seorang daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata ketika kejadian, Khairil Ezzuan baru sahaja sampai di situ untuk berniaga ayam panggang sebelum dia didatangi oleh dua lelaki bermotosikal.

"Kedua-dua suspek terus menyerang mangsa dan mangsa cuba melarikan diri. Ketika dia cuba melarikan diri, suspek telah melibas parang dan terkena pada kepalanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata seorang suspek dapat ditangkap oleh orang awam yang berada di kawasan itu manakala suspek utama melarikan diri dengan sebuah motosikal.

"Difahamkan mangsa baru pertama kali berniaga di situ dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


 - Bernama

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.