Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Warga Nigeria Nyaris Maut Cuba Bolos Serbuan Imigresen

  
Sunday, 12 August 2012 22:26

PUCHONG: Gara-gara takut diperiksa pihak penguatkuasa, seorang warga Nigeria nyaris maut setelah terjatuh ketika cuba meloloskan diri dari sebuah pangsapuri lima tingkat di sini, semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata, mangsa yang cuba melarikan diri menerusi bumbung pangsapuri terjatuh di balkoni rumahnya, sebelum dicekup pihak berkuasa.

Operasi Bersepadu 6P itu dilancarkan bersama Jabatan Imigresen dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bermula 12 tengah malam semalam dan seramai 116 warga asing diperiksa, di dua pangsapuri di kawasan itu.

"Seramai 49 warga asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan) 2010," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Operasi di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) jenayah itu disertai 180 anggota melibatkan pasukan polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Zamberi berkata, operasi menyasarkan warga Afrika berikutan banyaknya aduan diterima daripada persatuan penduduk dan pengurusan bangunan mengenai kebanjiran mereka yang diragui statusnya dan sering mengganggu ketenteraman awam.

"Imigresen menerima lebih 1,000 aduan (minta pemeriksaan dibuat). Di ibu pejabat Putrajaya sahaja, kira-kira 50 hingga 100 aduan diterima setiap hari," katanya sambil berharap lebih ramai persatuan dan pihak pengurusan bangunan melaporkan kebanjiran warga asing di kawasan mereka.

Katanya, usaha penguatkuasa terhadap pendatang asing tanpa izin di negara ini perlu mendapat kerjasama penduduk setempat agar operasi dapat dijalankan dengan lancar.

Dalam pada itu, Zamberi turut mengingatkan majikan agar tidak memegang atau menyimpan dokumen pengenalan diri pekerja asing mereka, kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan) 2010 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, ramai pekerja asing yang ditahan didapati majikan mereka memegang dokumen pengenalan diri dan permit kerja.

"Ia adalah satu kesalahan kerana memegang pasport warga asing secara tidak sah dan menyebabkan mereka teraniaya," katanya


 - Bernama

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.