Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Pandelela Janji Pamer Aksi Lebih Baik di Olimpik 2016

Shaik Amin   
Tuesday, 14 August 2012 14:15

..SEPANG, 14 Ogos: Atlit terjun 10 meter negara, Pandelela Rinong hari ini masih meletakkan sasaran tempat ketiga teratas dalam sukan Olimpik 2016 akan datang.

Atlit berusia 19 tahun itu yang muncul sebagai wanita pertama Malaysia memperoleh pingat gangsa dalam acara platform 10 meter turut berkata, beliau juga hanya mensasarkan pingat perak dalam acara itu yang bakal berlangsung empat tahun lagi.

"Atlit daripada Cina mendominasi sukan ini. Sukar untuk saya mensasarkan pingat emas," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menyambut kepulangan beliau hari ini.

Pandalela juga berkata, sukan terjun masih baru dan mempunyai masa hadapan yang cerah jika dibangunkan secara menyeluruh.

"Sukan terjun ini masih belum begitu popular, dan kita juga mempunyai pelapis yang tidak begitu ramai ... hanya sekitar 10 ke 12 orang," katanya lagi.

Walaupun sambutan yang diberikan terhadapnya tidaklah sehebat diterima jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei minggu lalu, kehadiran sekitar 300 penyokongnya dilihat cukup bermakna buat atlit tersebut yang pertama kali menyertai kejohanan berprestij berkenaan.

Sementara itu, ketika sidang media, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagaimanapun berjanji dan bersedia  mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran pingat dalam kejohanan Olimpik di London kali ini.

"Saya sedia bertanggungjawab kerana sasaran kita dalam Olimpik ini tidak tercapai.

"Kita dapati sukan terjun begitu maju ke depan.  Bagaimanapun kita perlu memperbaiki kemudahan sedia ada bagi membantu mereka dalam program-program pendedahan," kata Ahmad Shabery lagi dan menambah Olimpik kali ini menurutnya adalah berjaya walaupun gagal mencapai sasaran pingat.

Dalam acara peringkat akhir di Pusat Akuatik London itu, Pandelela yang bermula dalam keadaan yang kurang baik, kembali bangkit dan mencabar dengan mengumpulkan 359.20 mata di belakang pemenang pingat emas Chen Ruolin dari China dan perak dirangkul oleh peserta Australia, Brittany Broben.

Dengan kejayaan ini, Pandelela akan menerima ganjaran RM150,000 di bawah skim insentif Kementerian Belia dan Sukan dan pencen bulanan bernilai RM2,000.

Dalam sukan Olimpik London 2012, kali ini Malaysia berkongsi dengan lima negara lain untuk menduduki tangga ke-63 daripada 85 negara yang meraih pingat.

Malaysia berkongsi tangga bersama Bulgaria, Estonia, Indonesia, Puerto Rico dan Taiwan berkongsi tempat selepas kontinjen negara masing-masing meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

Kutipan pingat Malaysia adalah daripada pingat perak oleh Datuk Lee Chong Wei yang tewas dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki kepada Lin Dan dari China sementara pingat gangsa diraih oleh Pandelela Rinong Anak Pamg dari acara akhir terjun 10m platform wanita.

Antara negara Asean, Thailand mendahului kutipan pingat dengan memperoleh dua perak dan satu gangsa untuk menduduki tangga ke-57 dalam jumlah kutipan pingat keseluruhan, diikuti Indonesia (63), Malaysia (63) dan Singapura (75).

Thailand memperoleh dua pingat perak, masing-masing menerusi Pongprayoon Kaeo dari acara tinju Lelaki Light Fly 49kg dan Pimsiri Sirikaew (angkat berat wanita 59kg) dan satu gangsa dari Chanatip Sonkham (taekwondo wanita 49kg).

Indonesia meraih kedua-dua pingatnya dari acara angkat berat, satu perak dari Yuli Irawan (lelaki 62kg) dan satu gangsa menerusi Triyatno (lelaki 69kg).

Singapura mendapat dua gangsa dari acara ping pong, menerusi Feng Tianwei (wanita individu) dan berpasukan wanita.

Pada edisi di Beijing 2008, Malaysia mendapat tempat ke-70 daripada 86 negara yang mendapat pingat, berkongsi dengan Chile, Ecuador, Iceland, Afrika Selatan, Singapura, Sudan dan Vietnam, selepas masing-masing hanya mendapat satu perak.

Pingat perak Malaysia dari edisi Beijing disumbangkan oleh Chong Wei yang tewas dalam badminton perseorangan lelaki akhir juga kepada Lin Dan dari China.

Amerika Syarikat muncul sebagai juara Olimpik 2012 dengan menggondol keseluruhan 46 emas, 29 perak dan 29 gangsa, sekaligus memperbaiki kedudukan selepas meraih tangga kedua pada edisi Beijing 2008 dengan kutipan 36 emas, 21 perak dan 28 gangsa.

China yang muncul juara keseluruhan pada temasya di negara sendiri, dengan 51 emas, 21 perak dan 28 gangsa, jatuh ke tempat kedua di London dengan mengutip 38 emas, 27 perak dan 22 gangsa.

Sementara tuan rumah Great Britain berpuashati di tempat ketiga di laman sendiri dengan kutipan 29 emas, 17 perak dan 19 gangsa selepas mendapat mendapat tempat keempat di Beijing dengan kutipan 19 emas, 13 perak dan 15 gangsa.

 

- mD

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.