Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Shuhaimi: 'Tanda Putera' Bukan Filem Propaganda

Oleh Farahanim Rahim ([email protected])   
Wednesday, 15 August 2012 19:59

Tanda_PuteraPETALING JAYA: Pengarah prolifik Datin Paduka Shuhaimi Baba hari ini menafikan dakwaan beberapa pihak termasuk pembangkang yang mengatakan filem terbarunya ‘Tanda Putera’ memuatkan watak pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan berunsur rasis.

 

“Tidak ada watak pemimpin DAP dalam filem itu,” ujar pengarah itu sekaligus membidas komen pihak pembangkang bahawa filem kesembilannya boleh mencetuskan insiden pecah belah rakyat Malaysia, ekoran filem ini banyak menumpu kepada peristiwa hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei, 1969.

Katanya, adegan berkaitan peristiwa 13 Mei hanya memakan masa 10 minit daripada filem berdurasi 115 minit ini. Adegan tersebut hanya merupakan latar kepada cerita utama bagi menjelaskan mengapa Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang telah bersara, terpaksa kembali menyertai Kabinet.

Cerita utamanya ialah tentang Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein Al-Haj dan timbalannya Tun Dr Ismail, persahabatan dan perjuagan mereka memulihkan negara daripada trauma 13 Mei, dan kematian mereka yang tidak diduga.

Dalam pada itu, menyentuh tentang tuntutan beberapa ahli politik yang menyatakan hasrat untuk mempra-tonton filem ini bagi tujuan penilaian semula, Shuhaimi menjelaskan pra-tonton sesebuah filem hanya diadakan bagi kumpulan fokus, wakil media, artis yang terlibat dan keluarga mereka, rakan-rakan, wakil penaja dan bahagian pemasaran.

Tambahan, majlis pra-tonton melibatkan kos yang tinggi, oleh itu pihak produksi tidak dapat menunaikan semua permintaan.

Shuhaimi juga menyeru agar segala ugutan dan serangan peribadi ke atas penerbit, pengarah dan pelakon filem ini dihentikan.

“Sebagai penggiat filem, 'Tanda Putera' merupakan interpretasi kami tentang peristiwa yang berlaku setelah membuat kajian intensif. Ia penyataan kreatif kami dan kami harap semua pihak akan menghormati hak kami sebagai pembikin filem untuk membuat filem,” katanya lagi.


- mD


 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.