|
|
|
Wednesday, 29 August 2012 21:50 |
KUALA LUMPUR: Generasi zaman sekarang perlu menghayati dan menghargai segala detik dalam menyambut Hari Kemerdekaan bersama ribuan rakyat Malaysia yang lain, kata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.
Beliau berkata generasi muda jauh berbeza dengan generasi dahulu, seolah-olah dilihat seperti 'tidak kisah' untuk menyertai acara sambutan kemerdekaan di negara kita.
"Zaman dahulu dan sekarang sudah tentu mempunyai perbezaan. Bagi keluarga saya, sambutan kemerdekaan lazimnya sambutan keluarga. Ayah saya akan membawa kami sekeluarga ke Seremban untuk sama-sama melihat acara perbarisan.
"Sambutan Kemerdekaan merupakan satu hari yang amat mustahak untuk keluarga kami. Sekarang, kebanyakan mereka tidak kisah dengan sambutan itu," katanya dalam temubual dengan stesen radio HotFM hari ini.
Justeru itu, Kamaruddin berharap rakyat dari segenap lapisan masyarakat khusus generasi muda akan turut serta untuk meraikan dan menghayati sambutan Hari Kemerdekaan melalui pelbagai acara berkonsepkan patriotrik dan santai yang disediakan.
"Selain bersantai dan menghayati sambutan Hari Kemerdekaan, orang ramai juga diminta untuk mendengar amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan sebelah malam di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.
Kamaruddin berkata sambutan Hari Kemerdekaan 55 tahun berbeza tahun ini kerana setiap tahun, negara meraikan Hari Kemerdekaan dengan menganjurkan aktiviti menarik iaitu acara perbarisan di Dataran Merdeka.
Menurutnya dua acara utama diatur bagi memeriahkan sambutan pada Jumaat ini iaitu perbarisan di Dataran Merdeka yang bermula pada pukul 8 hingga 11 pagi dan kedua ialah 'Himpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati' di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 8 malam hingga 12.30 tengah malam.
Kamaruddin dalam temubual itu berkata: "Di luar stadium pula, pihak penganjur menyediakan persekitaran suasana Hari Raya serta beberapa khemah menjual makanan dan minuman dengan harga murah, serta hiburan disediakan bagi mereka yang tidak dapat memasuki stadium".
- Bernama
|