Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

'Tukar Jalur Gemilang Tidak Hormati Kedaulatan Negara'

  
Friday, 31 August 2012 23:02

Jalur_Gemilang_copyKUALA TERENGGANU: Perbuatan peserta himpunan 'Janji Demokrasi' yang mengedarkan risalah untuk menukar Jalur Gemilang serta mempamerkan 'bendera baru' di Dataran Merdeka malam tadi menggambarkan segelintir individu tersebut tidak menghormati lambang kedaulatan negara.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata perbuatan tersebut jelas menggambarkan kedangkalan pengetahuan pembangkang yang seolah-olah melupakan sejarah negara serta melupakan jasa pejuang dan pemimpin terdahulu.

"Inilah sikap pembangkang yang nak ubah semua sekali (sekiranya berkuasa). Apa perlunya (menukar bendera)?

"Mereka memang tidak menghormati. Mereka ini ada udang di sebalik batu... apakah mesej nak disampaikan? Apakah niat mereka? Tidakkah selesa apa yang telah kita kecapi sekarang?," katanya selepas perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri yang diadakan di Taman Awam Batu Buruk di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai penganjuran 'Janji Demokrasi' yang tidak menghormati Jalur Gemilang dengan mempamerkan kononnya 'bendera baru' ketika berhimpun pada malam ambang merdeka malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata setelah mencapai kemerdekaan dan menurunkan bendera Union Jack 55 tahun lalu, rakyat negara telah seia sekata menerima lambang Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan.

"Dulu buat bendera itu bukanlah mudah... kita ada pertandingan, perlambangan, logo dan makna-makna bagi warna jalur bendera serta 13 bintang bersama bulan," katanya.

Malah tegas Ahmad kerajaan yang memerintah selama ini telah menjalankan tugas dengan baik dalam segala segi bagi membangunkan negara serta mengekalkan keamanan yang dikecapi kini.

"Kita percaya bahawa kita sebagai kerajaan, kita berhak untuk memilih tema yang dilakukan. Jadi sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kita sentiasa ubah tema kita seperti tahun ini tema kemerdekaan adalah 1Malaysia, Janji Ditepati.

"Jadi, tiada sebab mereka perlu memboikot. Saya percaya rakyat sendiri tahu kerajaan telah banyak lakukan perubahan seperti Rancangan Malaysia Pertama hingga Rancangan Malaysia Ke-10 di mana kerajaan bangunkan kemudahan serta ekonomi berkembang," katanya.

 

-- Bernama

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.