Sun10222017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Poligami Pribumi Dalam Pakatan Harapan Bakal Ulang Persaingan Anwar-Mahathir

Kewujudan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli baharu Pakatan Harapan bakal melenyapkan aura Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini masih menjadi calon utama Perdana Menteri pakatan berkenaan.

DAP selaku pembuat keputusan Pakatan Harapan meletakkan isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang merangkap calon Perdana Menteri sementara menanti Anwar dibebaskan dari penjara.

Analisis Antarapos berhubung poligami parti Dr Mahathir - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - bersama Pakatan Harapan akan 'mengkocakkan' pucuk pimpinan tertinggi gabungan PKR, DAP, PAN dan PPBM itu ekoran isu pembahagian kerusi masih belum selesai sungguhpun Pilihan Raya Umum semakin hampir.

Katanya, Anwar bimbang sekiranya isu ini dilengahkan akan memberi kelebihan kepada Dr Mahathir mengatur langkah mencaturi setiap keputusan parti komponen Pakatan Harapan.

"Jika Mahathir berjaya, sudah tentu ia akan melupuskan impian Anwar untuk segera dibebaskan kerana kembalinya beliau dalam persada politik Malaysia sudah pasti menjadi “gangguan utama” politik yang mahu diambil Mahathir," kata analisis berkenaan.

Sementara itu, permainan 'kayu tiga' PKR menjalin hubungan bersama PAS dan pada waktu sama dengan DAP serta PAN telah mendorong pemimpin parti teraju Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menceraikan parti pimpinan Wan Azizah.

"Syarat PAS bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan politik langsung dengan DAP dan Amanah kini mendorong parti itu memberi kata dua pada PKR – pilih PAS atau, DAP dan Amanah.

"PAS juga insaf bahawa prasyarat yang sama diletakkan pada rundingan kerjasamanya politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mendorong parti itu memilih bergabung dengan Pakatan Harapan," katanya.

PAS yang menjadi punca kepada kemenangan Wan Azizah di Permatang Pauh juga melihat PKR Pulau Pinang memandang enteng kepentingan umat Islam Pulau Pinang, lantas Yang di Pertua PAS kawasan tersebut, Omar Hassan membawa usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Mesyuarat Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat, juga meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dan ambil semula kerusi yang “dipinjamkan” kepada PKR.

"Menjelang muktamar bulan depan adalah dijangka lebih banyak kawasan PAS akan membawa usul yang sama sekaligus mencorakkan persaingan tiga segi dalam PRU ke-14.

"PAS sudah lama bersedia bergerak sendirian sedangkan PH masih terkial-kial mencari titik persefahaman jitu.

"Penyertaan PPBM dalam pakatan itu dijangka mengubah perimbangan pengaruh di kalangan mereka," tegasnya.

Jelasnya lagi, apa yang pasti pada PRU14 nanti akan menyaksikan tiga blok politik akan bertanding merebut kedudukan di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen iaitu antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan serta Gagasan Sejahtera hasil gabungan PAS dan parti Ikatan.

- Malaysian Digest