Tue08222017

LAST_UPDATETue, 22 Aug 2017 8am

PKNS Kenal Pasti Tiga Lokasi Bina Stadium

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengenal pasti tiga lokasi di Selangor bagi pembinaan stadium untuk pasukan bola sepaknya, PKNS FC, iaitu sama ada di Shah Alam, Kota Puteri di Ijok atau di Bernam Jaya.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar yang juga Presiden Kelab PKNS FC berkata, pada masa ini kelab bola sepak milik PKNS itu berlatih dan mengadakan perlawanan dengan menyewa Stadium Shah Alam di sini.

“Ini telah menimbulkan beberapa masalah termasuk kemudahan berlatih dan bertanding di waktu malam,” katanya dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Siti Zubaidah berkata, masalah itu timbul kerana lampu limpah di stadium berkenaan yang kini sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan tidak cukup terang untuk latihan dan pertandingan di sebelah malam dan terpaksa diadakan di sebelah petang.

"Bermain pada waktu petang banyak bezanya dengan waktu malam kerana rata-rata pemain sudah biasa bermain malam," tambahnya.

Siti Zubaidah berkata, dengan adanya stadium sendiri nanti akan memudahkan lagi pengurusan jadual perlawanan, latihan pasukan dan kerja-kerja penyelenggaraan stadium.

"Stadium yang dibina nanti bakal mempunyai kapasiti memuatkan 6,000 hingga 7,000 penonton untuk peringkat permulaan dan akan mempunyai pilihan untuk menambah lagi kapasiti stadium pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, pembinaan stadium itu bakal memberi manfaat kepada PKNS FC, selain menyahut seruan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menggalakkan setiap pasukan yang bermain di liga bola sepak Asia memiliki stadium sendiri.

Untuk rekod, PKNS FC mengharungi lima perlawanan Liga Super musim ini di Stadium Shah Alam dengan mencatat dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. - BERNAMA

- Utusan Malaysia