|
Farahanim Rahim
|
|
Thursday, 06 September 2012 04:27 |
.
Pelakon jelita Erra Fazira dapat merasakan yang teman baiknya, dramatis Umie Aida yang juga bertindak sebagai penerbit Teater Tun Dr Siti Hasmah kecewa dan terkilan selepas penarikan dirinya daripada projek itu.
Meskipun suami Umie, Datuk Paduka Khairuddin (Datuk K) sendiri ada menghubungi Erra dan menyatakan yang beliau tetap mengharapkan Erra berlakon. Namun figura yang pernah diberi jolokan 'Primadona Filem Melayu' ini tetap tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan.
Erra menjelaskan pengundurannya bukan atas kerelaan hati. Sebaliknya sebab dia perlu memberi tumpuan pada komitmen lain.
"Umie terkejut apabila saya bagi tahu dia melalui BBM. Saya rasa dia terkilan. Tapi dia ala-ala pasrah lah.
"Abang (suami Umie) ada menghubungi saya. Dia nak juga saya berlakon. Tapi oleh sebab ianya dah tertangguh, saya tak boleh teruskan sebab saya punya komitmen lain.
"Pada 15hb September ini saya akan ke Singapura. Sekembalinya nanti, beberapa hari selepas itu saya terlibat dengan produksi Cube Film. Saya tidak boleh berbuat apa-apa sebab saya sudah berjanji dengan pihak lain. Dan saya tak mahu gara-gara saya, akan menyusahkan pihak itu nanti", jelasnya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Indigital Sdn Bhd di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, malam tadi.
Bagaimanpun Erra percaya dan yakin yang penggantinya, Lisa Surihani mampu menghidupkan watak Tun Dr Siti Hasmah dengan baik.
"Saya tahu dia memang dah lama nak berlakon teater. Saya percaya Lisa mampu menggalas tanggungjawab tersebut. Sebab sebelum ni Lisa mempunyai pengalaman berlakon dalam pelbagai filem. Saya pasti dia boleh!
"Lagipun dia mempunyai aura, cara penyampaian tersendiri dan kita semua tahu dia ada ramai peminat. Dan kalau benar seperti mana yang diperkata, Sofea Jane juga bakal menjayakan teater ini, dua nama ini memang tak boleh di sangkal! Jadi tak ada timbulnya soal tiada lagi tarikan pada teater ini", katanya.
Teater Tun Dr Siti Hasmah yang sepatutnya dipentaskan pada 30hb Ogos lalu ditunda kepada satu tarikh yang masih belum ditetapkan.
- Foto oleh Cipotredz
- mD
|