|
Farahanim Rahim
|
|
Thursday, 06 September 2012 11:51 |
.
Kegagalan hubungan cintanya bersama pelakon Shahrizal Jaszle atau Shah Jazle ternyata mempunyai hikmah yang besar buat pelakon Miera Liyana kerana ia mengajar gadis berusia 19 tahun ini agar tidak lalai kerana cinta.
Kata Miera, kalau sebelum ini dia menyangka pada satu fasa kehidupannya, cinta adalah segala-galanya. Namun kini menyedari pada usia muda masih banyak perkara yang boleh dilakukan bagi memajukan diri.
"Masa tengah hangat bercinta dulu saya rasa dia lah segala-galanya sehingga saya lupa tentang perkara lain. Tapi bila kami putus rupanya memberi saya satu pengajaran cukup besar.
"Saya berterima kasih pada Shah sebab kalau sebelum ni saya buta cinta. Tapi sekarang tak lagi. Peristiwa lepas buat saya jadi lagi kuat dan matang.
"Saya sedar sebagai seorang yang masih muda, saya tidak sepatutnya meletakkan soal hati dan perasaan cinta sebagai keutamaan sebab ada macam-macam lagi perkara yang boleh saya lakukan selain terlalu memikirkan soal itu," ujar ketika ditemui pada majlis Pelancaran Filem-Filem Terbitan Grand Brilliance 2012, semalam. Pelakon Kau Yang Terindah itu memberitahu dia bersyukur dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Tambahan rezeki dalam dunia lakonan kini tidak putus-putus. Itu tandanya banyak pihak yang sudah nampak bakatnya berbanding sebelum ini yang sering saja dikaitkan dengan cerita-cerita kontroversi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan bekas kekasihnya itu yang bakal bertunang dengan seorang pelajar kedoktoran, Miera berkata, dia sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka tanpa ada perasaan dendam.
"Saya sudah tiada apa-apa perasaan dendam atau marah kepada Shah kerana hubungan kami telah pun menjadi sejarah. Apa juga keputusan yang dia buat adalah untuk masa depannya. Saya doakan yang terbaik buat dia".
Meskipun bukan lagi sebagai pasangan kekasih, hubungan mereka masih baik. Malah Miera dan Shah ada berlakon besama menerusi drama berjudul Harapan selepas tiga bulan berpisah.
Sementara itu, Miera berkata dia teruja dan berdebar apabila masih menanti empat buah filem lakonannya iaitu Pencinta, Pecah, Lebuhraya Ke Neraka dan Dendam Orang Mati yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
- mD
|