Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Lukisan Emma Jadi Pilihan Menteri, Nilai Jualan Pernah Cecah RM30,000

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Friday, 07 September 2012 09:34

..

Siapa sangka selain memiliki bakat berlakon, pendatang baru yang nama semakin disebut-sebut, Emma Maembong, 20, juga dianugerahkan bakat melukis. Emma yang merupakan anak kepada pelukis terkenal, Ismail Embong mewarisi bakat itu daripada ayahnya sendiri. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.

Menurut Emma, melukis sudah menjadi sebahagian daripada dirinya. Kemana saja dia pergi dia pasti akan membawa sketchbook. Sehingga sekarang pun kalau di set pengambaran, asalkan ada waktu senggang dia akan melukis.

"Sebenarnya selain berlakon saya memang minat melukis. Adik beradik lain juga suka melukis. Saya lebih kepada lukisan animasi. Daripada kecil saya sudah ikut ayah mengadakan pameran lukisan di merata tempat seluruh Malaysia atau kami sendiri yang menjual lukisan-lukisan ayah di tepi jalan. 

"Ketika umur 12 tahun, lukisan saya pernah dibeli oleh pelanggan dengan harga RM100. Masa tu saya terkejut juga sebab lukisan tu biasa saja, tapi tetap ada orang yang nak membelinya.
 
"Sejak tu membuatkan saya lagi seronok melukis. Ada juga lukisan yang saya jual mencecah harga RM20,000 hingga RM30,000 sebuah. Pernah juga lukisan saya dibeli oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim. Selain tu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam juga pernah membeli hasil lukisan saya", kata pelakon yang semakin popular menerusi drama bersiri Kau Yang Terindah yang sekarang ditayangkan di TV3.  

Emma atau nama sebernarnya Fatimah Rohani ditemui di majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad, di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, petang semalam.

Sementara itu menyentuh mengenai dunia lakonan, Emma berkata pada awalnya dia sekadar mahu mencuba. Itupun selepas kakaknya, Yaya Maembong yang merupakan kalangan orang produksi memperkenalkan dia kepada pengarah Eirma Fatima.

"Saya nak jadi pramugari. Tapi masa tu kakak cadangkan saya berlakon. Lagipun adik beradik lagi juga ada terlibat dengan dunia lakonan, iklan dan modeling. Saya dibawa berjumpa mama Eirma. Masa jumpa mama, dia suruh saya baca satu skrip. Dalam dua tiga hari lepas tu dia hubungi saya dan tawarkan watak Munirah dalam Kau Yang Terindah.

"Dalam 11 adik beradik, saya anak yang kesembilan dan paling manja dengan ayah. Kira anak ayah lah. Ayah tak berapa suka saya berlakon sebab dia suruh saya jadi pelukis. Tapi sekarang ni dia dah okay dan boleh terima", kata gadis kacukan Melayu-Scotland ini.

Emma juga tidak menafikan yang sejak kemunculannya di dalam drama Kau Yang Terindah, ramai yang mula menyedari kehadirannya dalam industri. Peminat juga sudah mula menegurnya jika terserempak di mana-mana. Sebelum ini Emma pernah muncul menerusi drama Facebook Ustazah Shamsiah. Pun begitu sebagai orang baru, dia mengakui banyak perkara dan selok belok dalam dunia lakonan yang perlu dipelajari.

Sementara itu dalam perkembangan lain, pada 16 dan 17 September ini Emma akan menyertai pameran lukisan bertempat di Rumah GAPENA. Emma juga sedang dalam proses perbincangan untuk projek lakonan keduanya bersama Eirma Fatima.


- Foto oleh SM Amin

- mD


 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.