|
Farahanim Rahim
|
|
Saturday, 08 September 2012 07:52 |
.
Dek kerana mahu mengenali Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang merupakan isteri kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lebih mendalam menjadi faktor utama aktres berkaliber Datin Sofea Jane untuk membawakan watak tokoh itu.
Sofea yang ditemui di sidang media Tribute Tun Dr Siti Hasmah di Istana Budaya semalam berkata, dia berasa teruja untuk menerokai sisi berbeza Tun Dr Siti Hasmah sebagai persiapan untuk lebih mengenali wanita berusia 86 tahun itu.
“Saya suka memainkan watak wanita yang memberikan inspirasi kepada semua. Tun adalah inspirasi saya dan semua rakyat Malaysia dan ia adalah satu penghargaan buat saya.
“Saya akui agak keberatan untuk menerima watak ini sebelum tarikh pementasannya ditunda kerana tempoh latihan yang suntuk tidak memadai untuk pementasan besar ini.
“Apabila dimaklumkan ia dianjakkan ke November, saya berasa lega kerana punyai lebih masa untuk lebih mendalami beliau,” katanya yang akan menjiwai watak Tun Siti Hasmah ketika di usia sekarang.
Sementara itu, Lisa yang turut hadir pada majlis yang sama berkata, saat bertentang mata dengan wanita pertama negara itu dia berasa mengigil dan perasaannya bercampur baur. Tiada kata-kata yang dapat diucap pelakon berbakat besar itu selain perasaan terlalu gembira tatkala bertemu dengan figura yang menjadi idolanya.
"Saya mengigil, starstruck dan sikit emosi seperti nak menangis pun ya. Beliau sempat menceritakan tentang kisah hidupnya sikit. Kak Sofea lebih banyak bercakap dengan beliau tadi dan saya hanya mendengar saja lah.
"Saya sangat kagum dengan beliau. Aura beliau cukup kuat. Dia seorang sangat yang merendah diri.
"Bila saya dah baca skrip, selama ni kita hanya mengenali beliau sebagai isteri Perdana Menteri saja kan? Tapi sebenarnya beliau seorang yang suka menari, suka main piano, suka main violin dan sangat mementingkan keluarga. Pendek kata beliau seorang kakak, adik, ibu dan isteri ahli politik yang sebenarnya mempunyai hidup penuh warna warni yang tak pernah kita semua tahu", ujar Lisa Surihani menceritakan pengalaman pertama kalinya bertemu Tun secara dekat, beberapa minit sebelum majlis bermula.
Lisa menggalas watak sebagai Tun ketika usia muda sebelum mengahwini Dr Mahathir.
Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah arahan Erma Fatima ini turut dibintangi Esma Daniel sebagai Tun Dr Mahathir dewasa dan Nazim Othman (watak Tun ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain.
Ia bakal dipentaskan bermula 9 hingga 19 November depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
- mD
|