|
Farahanim Rahim
|
|
Thursday, 13 September 2012 01:17 |
Foto oleh Cipotredz
Kalau kalian masih ingat, Rashidi Ishak (Shidi) dan Vanidah Imran pernah 'dipertemukan' lalu bercinta menerusi lakonan mereka dalam drama Athira, sikit masa dulu. Sejak itu mereka tidak pernah lagi berkongsi skrin kaca TV apatahlagi layar lebar.
Bercakap sewaktu tayangan sidang media filem Untuk Tiga Hari, kata Shidi sungguhpun selama ini tidak pernah diluahkan kepada Vee akan hasrat mahu berlakon bersama isterinya itu di layar perak, namun jauh di sudut hati dia berharap keinginannya tercapai.
Pucuk dicita ulam mendatang, saat Afdlin Shauki menawarkan watak Zafrin kepadanya, dia berasa cukup teruja kerana memang sudah lama dia menantikan peluang sebegitu.
“Sebenarnya saya dan Vee memang nantikan satu skrip yang menggabungkan kami bersama. Saya sangat teruja apabila Afdlin tawarkan watak Zafrin kepada saya. Walaupun sebelum ini saya tak pernah cakap pada Vee yang saya teringin nak berlakon dengannya dalam filem, tapi saya akuinya sekarang,” ujar Rashidi ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai babak 'panas' bersama Ayu Raudhah dalam filem itu, Shidi berkata dia tiada masalah untuk melakonkannya kerana mereka sudah berstatus suami dan juga isteri dan percaya yang pasangan masing-masing menerima dan memahami situasi tersebut.
"Saya tidak ada masalah berlakon dengan Ayu. Untuk babak-babak panas di antara kami, memang agak sukar pada awalnya. Tapi mujurlah, masalah itu kami berjaya atasi dan kami dan berikan yang terbaik,” ujarnya yang turut memuji Ayu mengatakan aktres itu seorang pelakon yang bijak menyesuaikan diri.
Sementara itu, Vee pula memberitahu dia tidak menyangka yang Afdlin akan menawarkan watak hero kepada suaminya. Jelas Vee, walaupun dia sudah mengetahui tentang projek filem yang diadaptasi dari novel ni, dua tahun sebelum penggambaran bermula, tetapi dia tidak tahu nama-nama pelakon yang akan terpilih.
“Saya dah tahu awal pasal projek ni tapi tak tahu nama watak yang harus saya lakonkan apatahlagi siapa pelakon lain. Apabila Afdlin beritahu dia mahu gandingkan saya dengan suami, memang saya agak terkejut.
"Maklumlah, tidak ramai pengarah yang berani pertaruhkan pasangan suami-isteri untuk filem mereka. Ini membuktikan Afdlin seorang pengarah yang lain daripada yang lain. Dia tahu apa yang dia mahukan", kata Vanida yang mengagumi sahabatnya itu kerana berjaya menerokai sisi berbeza yang ada dalam dirinya yang tidak pernah diketahui iaitu, melatah.
Nantikan Untuk Tiga Hari, sebuah naskah yang diadaptasi dari novel terlaris nukilan novelis popular Ahadiat Akashah ni, yang akan bermula di pawagam pada 20 September 2012.
- mD
|