|
Farahanim Rahim
|
|
Wednesday, 19 September 2012 09:45 |
.
Reda satu kontroversi yang melanda dirinya, Aweera dikaitkan dengan satu lagi isu, dia dikatakan pula sudah mula besar kepala dan mempunyai masalah disiplin sehingga menyusahkan pihak lain.
Bertemu vokalis kumpulan Mojo ni di majlis Rumah Terbuka Star Radio Group, MD bertanyakan sendiri kepada tuan punya badan mengenai sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.
Aweera mengakui kegagalannya untuk memberi komitmen dalam beberapa acara sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan faktor kesihatan.
"Saya baru baik demam. Sebenarnya dua bulan lepas saya demam teruk, sakit tekak sampai hilang suara. Saya ditahan di hospital selama 10 hari dan doktor mengesahkan saya dijangkiti denggi serta virus kencing tikus. Tahap kesihatan saya ketika itu sangat merisaukan kerana menurut doktor saya cuma ada 50-50 disebabkan virus telah merebak ke jantung.
"Tapi syukur Allhamdulillah semuanya dapat dikawal. Saya sudah okay sekarang cuma perlu menjalani beberapa lagi rawatan susulan. Sebab tu saya tak boleh beri sepenuh komitmen pada beberapa persembahan sebelum ni", jelas Aweera ketika ditemui di Hotel Swiss Garden Residences, petang semalam.
Dalam pada itu, satu lagi dakwaan mengatakan yang dia sengaja 'menghilangkan diri' ekoran tidak hadir untuk membuat persembahan di majlis rumah terbuka Media Prima minggu lalu. Tambahan Aweera tidak memaklum langsung mengenai sebab ketidakhadirannya itu. Malah tidak menjawab sebarang panggilan dari beberapa pihak ketika itu.
"Saya minta maaf. Bukan sengaja tapi pada hari tu saya dapat tahu yang ibu, abang, kakak ipar dan adik saya ditimpa kemalangan. Mereka dalam perjalanan untuk menonton filem 'Leftwings' lakonan saya.
"Bila dapat tahu berita tu, saya langsung tak boleh fikir apa-apa nak jawab telefon pun tak boleh. Saya terlalu risaukan mereka. Saya terus balik kampung untuk melihat keadaan mereka. Nasib baik hanya kereta saja yang remuk. Keluarga saya hanya mengalami cedera ringan", kata Aweera sekaligus menepis tuduhan dia tidak berdisiplin.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mojo antara barisan artis yang akan menjayakan Konsert Kemuncak Suria Fm 2012 pada 29 September ini, di Dataran Putrajaya, Persint 3, Putrajaya.
- mD
|