|
Farahanim Rahim
|
|
Wednesday, 19 September 2012 10:08 |
.
Pelawak dan penyampai radio, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil mengakui sejak menceburi dunia penyiaran radio sebagai penyampai radio di stesen Suria FM, dia kini kurang mendapat tawaran untuk menjayakan program-program TV.
Nabil, 28, bagaimana pun tidak menyalahkan mana-mana pihak cuma mula terbit rasa rindu dalam diri untuk muncul di kaca TV untuk mengendalikan sesebuah program seperti sebelum ini. Sekaligus menyifatkan kepentingan muncul dikaca TV adalah sebagai 'iklan' untuk dirinya, agar tidak dilupai peminat,
"Dah lebih kurang sembilan bulan saya kat sini (Suria FM). Saya seronok dan semakin suka dengan kerja saya, suka persekitaran kerja sekarang dan saya boleh luangkan banyak masa dengan keluarga. Suria juga banyak menaikkan nama saya.
"Cuma, saya akui sejak jadi deejay tawaran daripada pihak TV dah kurang. Kalau dulu saya ada buat program TV. Sekarang, kalau ada pun sekadar artis undangan. Pelik juga saya. Lagipun bukan saya minta bayaran terlalu tinggi. Saya tak lah demand.
"Kalau filem tu, memang saya tak ambil sebab memerlukan komitmen dan kesukaran untuk sesuaikan kerjaya deejay dengan masa untuk jalani penggambaran di set lokasi. Tapi untuk buat rancangan TV rasanya tiada masalah. Saya rindu nak buat program TV", kata Nabil kepada MD selepas ditemui di majlis sidang media Konsert Kemuncak Suria FM, di hotel Swiss-Garden Residences KL, petang semalam.
Atas sebab itu juga, Nabil memberitahu dia kini sedang mempertimbangkan satu tawaran dari sebuah stesen TV berbayar yang menawarkannya untuk mengendalikan program di stesen berkenaan.
"Saya dalam dilema, sebab saya rindu nak buat program TV tapi dalam masa sama saya suka kerja di radio. Sekarang ni saya masih berfikir-fikir lagi. Bukan soal bayaran tinggi yang jadi keutamaan. Banyak perkara yang perlu di pertimbangkan sebelum saya bersetuju.
"Sebab saya difahamkan jadual yang diatur oleh pihak stesen TV itu sangat padat. Saya kena fikirkan juga tentang masa dengan famili. Lagipun saya dah nak jadi ayah tak lama lagi, jadi masa dengan keluarga tu saya rasa pun penting. Kontrak saya dengan Suria pun akan tamat tak lama lagi, jadi saya tak tahu lagi macam mana", katanya yang baru saja tersenarai sebagai 10 Artis Yang Disenangi 2012 oleh sebuah majalah popular tempatan.
Dalam perkembangan lain, dia yang bakal menimang cahaya mata sekitar Desember ini turut mengesahkan yang dia menyertai kumpulan Boboi. Nabil akan beraksi pada persembahan pertamanya bersama Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik di pentas Lawak Ker Der 2 di Istana Budaya, bermula 28 September ini.
- mD
|