Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Berbaloi Tinggalkan Malaysia - Yuna

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Friday, 21 September 2012 09:37

..

 

Penyanyi-penulis lirik bertaraf antarabangsa, Yuna berkata, keputusannya meninggalkan keluarga, teman-teman rapat serta kehidupannya di sini dikala kerjaya seninya sedang meniti ke puncak dan menuju ke destinasi impian, adalah satu pergorbanan yang berbaloi. Bukan mahu berbangga diri jauh sekali mendabik dada, tetapi sekurang-kurangnya dalam masa 10 bulan ni dia sudah boleh berpuas hati dengan apa yang dikecapi.

Berbekalkan restu keluarga, dengan membawa revolusi muziknya dan imej wanita bertudung, gadis berusia 26 tahun ni nekad menyambar peluang menempa nama di bumi Los Angeles, Amerika Syarikat. Bernaung dibawah syarikat rakaman The Fader Label, Yuna bukan saja berpeluang berkerja dengan pemuzik dan penerbit A-list. Malah diundang menjayakan beberapa program TV popular, program radio, mengadakan persembahan di konsert dan pentas festival serta tercalon dalam dua anugerah berprestij.

"Sedar tak sedar, dah hampir penghujung tahun. Rasanya saya baru saja lancarkan album Terukir di Bintang, sebelum ke US. Kalau kita tak buat apa-apa untuk kita untuk diri kita, rugi rasanya. Itulah, banyak perkara boleh berlaku dalam masa setahun ni.   Karier saya di sana pun sudah bermula.

"Awal-awal dulu saya berfikir banyak kali juga sama ada nak pergi atau tidak. Sebab saya anak tunggal dan rapat pula dengan nenek. Di sana, saya seorang diri. Tapi allhamdulillah dalam 10 bulan ni dengan berkat doa famili dan peminat di sini, banyak perkara yang saya dah capai",

"Album versi US pun dah siap. Sekarang ni masa untuk promosi. Kalau di sana, cara mereka nak promosikan album adalah dengan buat konsert jelajah. Jadi, saya sedang buat konsert jelajah. Seronok sebab US kan besar, jadi saya dapat pergi ke banyak tempat. Misalnya selama 20 hari travel dalam van", kata Yuna kepada MD ketika ditemui baru-baru ini.

..

Menceritakan lagi kehidupannya, Yuna memberitahu beza rutin harian sebagai anak seni tidak jauh beza seperti mana negara sendiri. Cuma di sana agak memenatkan kerana jadualnya begitu padat berbanding di sini, lebih releks. Sungguhpun begitu, Yuna teruja melalui perjalanan kariernya di sana.

Menganggap tahun pertama ini sebagai tahun permulaan, justeru gadis tinggi lampai ni berkata dia perlu mencari sebanyak mungkin peluang untuk mengukuhkan namanya. Apa saja tawaran dia harus ambil setidak-setidaknya sebagai menimba pengalaman. Kerana itu, perlu memberanikan diri, yakin serta sentiasa memberikan karya-karya yang kreatif.
 
"Ada saja aktiviti dan acara yang pihak label aturkan. Lebih kurang macam di sini, saya ada sesi temuramah dengan pihak televisyen dan radio. Ada bermacam lagi projek. Mereka buat kita memang betul-betul bekerja. Memang penat tapi saya buat juga dan saya berikan 110% komitmen. Sebab saya dah korbankan banyak perkara yang saya ada kat Malaysia, jadi saya tak nak ia sia-sia dan nak berikan sesuatu untuk peminat di Malaysia. Saya perlu jadikan pengorbanan saya berbaloi. Setakat ini saya rasa berbaloi dan sesekali saya tetap balik ke Malaysia, ujarnya.

Sementelah sejak muncul di program Conan, Yuna memberitahu jualan albumnya semakin meningkat. Selain, single Lullabies terpilih sebagai lagu tema untuk sebuah program realiti berjudul Hollywood Excess. Yuna juga berpeluang menyanyikan lagu filem Seavenger dan bertemu dengan pengarahnya, Oliver Stone. Dia juga turut membuat persembahan di festival muzik Lollapalooza. Meskipu begitu, kata Yuna ada banyak lagi perkara yang nak buktikan dan ingin tawan pada masa akan datang.

Undi KPop?
Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan tercalon dalam Anugerah MTV European Music Awards (EMA) 2012 dalam kategori Best Asian Act, Yuna berkata saat mengetahui tercalon, dia terkejut dan tertanya-tanya apa yang menyebakan dia sebaris dengan finalis lain.

"Bukan sesuatu yang baru sebab sebelum ni pun saya pernah tercalon dalam satu anugerah lain. Tapi saya terkejut juga, sebab saya rasa belum tiba masa untuk saya di situ (sebagai finalis). Saya tiada apa yang nak ditawarkan kepada peminat muzik berbanding dengan calon lain. Lagipun calon-calon lain terdiri daripada artis KPop yang memang punya fenomena tersendiri. Kalau saya jadi peminat pun, saya akan undi KPop.

"Apapun, percalonan ini sebagai satu titik permulaan untuk saya maju ke depan. Seperti mana kali pertama saya berjaya ke final Anugerah Juara Lagu beberapa tahun lalu. Begitu juga ketika mula-mula saya dicalonkan dalam AIM", katanya lagi yang turut mengesahkan tidak dapat hadir ke anugerah tersebut kerana ketika itu dia akan berada di sini sempena konsert Homecoming yang diadakan di Pulau Pinang pada 10 November dan di Sarawak pada 16 November 2012.

..

 

- mD

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.