Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Ekoran Dialog Lafaz Cerai: Vee Ulas Gesaan Rujuk

Print E-mail
  
Monday, 24 September 2012 13:42

..

Pelakon Vanidah Imran atau Vee menjelaskan tidak berlaku penceraian diantara dia dan suaminya, Rashidi Ishak berikutan dialog yang diungkapkan menerusi filem Untuk Tiga Hari.

Vanida mengulas mengenai nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan dalam akhbar Utusan hari ini yang menggesa pasangan itu memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.

Bercakap kepada mStar Online Vee berkata, dia dan suaminya telah meneliti skrip filem arahan Afdlin Shauki itu sebelum menerima tawaran membintangi karya berkenaan.

Vee juga tidak faham bahagian mana dalam filem itu yang mengatakan Rashidi ada melafazkan cerai terhadapnya?

Tambahnya sebagai pelakon mereka sangat berhati-hati dengan perkara sebegini dan tidak akan menerima sebarang watak yang menggambarkan sifat negatif suami isteri

Dalam pada itu, Vanidah menegaskan dia tidak akan ke pejabat agama seperti mana dinasihatkan oleh Harussani kerana yakin tidak berlaku penceraian seperti yang didakwa.

Vanidah memberitahu, sebagai seorang Islam dia sedar mengenai soal agama serta hukum dan tidak akan cepat melatah dengan isu yang digembar-gemburkan.

Katanya, dia tidak nampak sebarang sebab mengapa dia dan Rashidi perlu ke pejabat agama untuk merujuk status mereka sebagai suami isteri kerana lafaz cerai tidak pernah berlaku.

Bagaimanapun Vanidah memberitahu, dia menerima nasihat daripada Harussani sebagai seorang ahli agama namun menganggap ulasan itu hanya dibuat berdasarkan kepada pandangan pihak ketiga tanpa menonton filem berkenaan.

"Saya berpendapat beliau tidak menonton filem itu tetapi hanya mendengar ulasan daripada pihak lain.

"Jika benar telahan saya itu, adalah tidak wajar pihak ketiga mahu mengheret seorang mufti memberi ulasan tanpa beliau melihat sendiri adegan yang saya dan suami lakonkan," katanya.

Vanidah berkata, sepanjang 12 tahun perkahwinan, mereka sentiasa memastikan keharmonian rumah tangga dan menjaga aib masing-masing.

"Bergelar pasangan selebriti menyebabkan ramai mata yang sentiasa memandang kami tetapi Alhamdulilah setakat ini kami bebas dari sebarang cerita-cerita yang tidak elok," katanya.

 

- mD

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.