|
|
|
Tuesday, 25 September 2012 10:12 |
.
Pengarah filem Untuk Tiga Hari, Afdlin Shauki menolak tuduhan kononnya filem itu mengangkat unsur negatif dalam sebuah rumah tangga sedangkan ia menunjukkan mesej baik bagi menghalang daripada perceraian.
Dalam laporan portal mStar Online hari ini Afdlin berkata, filem yang sudah pun memulakan tayangannya pada Khamis lalu itu lebih tertumpu kepada cara menangani masalah suami isteri dan sedikit pun tidak merosakkan pemikiran masyarakat ke arah keburukan.
Afdlin yang turut berlakon dalam filem tersebut terkejut apabila Untuk Tiga Hari dipertikaikan gara-gara lafaz cerai yang dibuat Rashidi kononnya boleh menyebabkan jatuhnya talak dia isteri sebenarnya, Vanidah.
"Mana mungkin ia boleh berlaku kerana dalam filem ini, lakonan lafaz cerai itu diungkap kepada gandingannya iaitu Ayu Raudhah.
"Tambah pula filem ini disuntik dengan pelbagai mesej positif alam rumah tangga di mana ia sekali gus mengajar untuk mengelakkan penceraian yang semakin menular di negara kita," katanya yang mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia, semalam.
Beritahu pengarah itu lagi, berdasarkan komen yang diberikan oleh Harussani, berkemungkinan besar mufti itu belum menyaksikan filem berkenaan dan hanya memberi komen berdasarkan soalan yang diajukan.
Dalam pada itu, Afdlin tidak menganggap tuduhan itu sebagai satu sabotaj terhadap filemnya malah merasakan ia sedikit sebanyak dapat membantu mempromosikan filem berkenaan.
- mD
|