Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Nabila Huda Hampir Ditangkap di Tanzania

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Thursday, 27 September 2012 10:14

..

Siapa yang akan melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan lebih-lebih ketika melancong ke negara orang. Jangan kan kata tempat-tempat menarik, ada tu papan tanda tandas pun boleh jadi sebahagian daripada koleksi foto kenangan atau paling tidak jadi koleksi di Instagram, kan. Bagi mereka yang memang 'kaki fotografi' lagi lah tak payah cakap, selagi tak penuh kad memori, selagi tu lah dia tak berhenti 'petik' kamera.

Begitu juga dengan pelakon Nabila Huda yang baru-baru ini menunaikan impiannya, melancong ke negara Kenya. Namun tidak hanya gambar-gambar kenangan yang dibawa pulang, Nabila yang pergi berseorangan memberitahu banyak pengalaman menarik ditimba sepanjang bercuti di sana. Termasuklah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan seperti perlu bertukar pesawat sebanyak tiga kali dalam perjalanan ke destinasi impiannya itu. Malah anak kepada penyanyi lagenda Rock, Amy Search ni hampir ditangkap pihak berkuasa Tanzania.

Bercerita lanjut, Nabila berkata kejadian berlaku semasa dia transit di lapangan terbang Tanzania. Sementara menanti untuk penerbangan seterusnya, masa yang ada dipenuhi dengan berjalan-jalan di dalam lapangan terbang sambil merakamkan gambar menarik. Namun tanpa pelakon drama bersiri Julia ini sedari, rupanya menjadi satu kesalahan sekiranya merakamkan gambar di situ.   

"Masa tu, empat jam transit. Jadi saya jalan-jalan lah dan teruja dengan suasana di situ. Saya pun ambil lah gambar. Kebetulan masa tu ada berlaku satu kejadian, tapi saya tak pasti apa. Nampak macam ada satu kumpulan bergaduh. Dalam pada tengah snap, snap tu saya ada juga ambil gambar kumpulan orang tu.

"Alih-alih ada polis datang pada saya dan suruh saya padamkan gambar tu termasuklah gambar yang lain-lain. Saya pelik sebab apesal pula dia nak suruh saya padamkan gambar-gambar saya. Rupanya kat lapangan terbang tu di larang ambil gambar. Kemudian mereka rampas kamera saya dan padamkan semua gambar.

"Saya ditahan. Apa lagi, masa kena tahan tu, saya 'berlakon' lah buat muka sedih. Lebih kurang 45 minit saya dalam tahanan mereka. Tapi Alhamdulillah tak ada apa-apa dan mereka lepaskan saya", kata Nabila sambil menahan tawa kerana berasa lucu bila mengenangkan kembali momen tersebut.

Jalan-Jalan Cari Jodoh

..

Dalam pada itu Nabila berkata dia kini semakin seronok mengembara mengelilingi dunia. Selain dapat melawat negara orang, dia juga dapat menambah kenalan. Pada bulan November ini Nabila merancang mahu ke Itali selama 10 hari. Selain, negara Jamaica juga termasuk dalam senarai destinasi penggembaraannya. Tapi sebelum itu, dia mahu menjelajah ke tiga negara jiran iaitu Thailand-Kemboja-Laos dengan menaiki kereta atau bas.

"Saya suka pilih negara-negara yang unik dan bukan biasa jadi pilihan ramai untuk melancong. Masa saya pergi Kenya hari tu, saya pergi safari. Saya suka tempat-tempat macam tu.

"Seronok menggembara. Saya pergi seorang diri, senang. Papa risau saya pergi sorang-sorang tapi saya ni hati kering. Sampaikan sekarang ni saya rasa nak berlakon, lepas habis penggambaran saya nak habiskan duit pergi melancong. Lepas tu balik kerja kumpul duit semula, lepas tu pergi melancong lagi...",

"Sambil tu, kira jalan-jalan cari jodoh lah. Saya nak kahwin. Sebab saya nak anak lagi. masalahnya belum jumpa yang sesuai", guraunya.

Disebabkan kepuasan yang dinikmati sepanjang menggembara, Nabila mengakui dia sanggup berjauhan dengan anak tunggal kesayangannya, Keisya Laila yang kini berusia 2 tahun setengah.

"Berat juga hati nak tinggalkan dia, kalau tak pergi melancong, saya berhari-hari di lokasi penggambaran. Tapi apa nak buat, saya yang pilih jalan hidup (sebagai ibu tunggal) macam ni. Saya kena kuatkan semangat. Sebab tu kalau melancong saya hanya boleh pergi selama 10 hari sebab saya dan bekas suami gilir-gilir menjaganya, saya tujuh hari lepas tu tujuh hari lagi dia dengan bekas suami.

"Kalau saya tak ada, Keisya saya tinggalkan di rumah papa. Dia okay jer kat rumah atuk dia. Dia ramai kawan di sana. Kalau saya tak shooting, kami berdua suka habiskan masa lepak kat rumah, kami tengok DVD sama-sama. Sekarang ni dia kecil lagi, susah sikit nak bawa ke tempat jauh-jauh. Nanti bila dia dah masuk umur 5 tahun, saya akan bawa dia melancong bersama saya", katanya.

Perkembangan lain, Nabila kini masih lagi menumpukan pada pengambaran drama bersiri Julia sehingga pertengahan Oktober ini. Melakonkan watak Julia, dalam drama arahan Jamal Khan itu, Nabila berkata karakter kali ini memerlukan dia banyak bermain dengan emosi yang mendalam dan berlainan daripada watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini.

Julia turut dibintangi antaranya Fizo Omar, Izreen Azminda, Azlee Khairi, Fouziah Gous dan Iqram Dinzly. Ia telah ditayangkan sejak 24 September lalu menerusi slot Akasia pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.

 

- mD




 



 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.