Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Iqram Sedia Terima Calon Isteri Pilihan Keluarga

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Wednesday, 03 October 2012 02:11

..

Pelakon Iqram Dinzly meluahkan keinginannya mahu menamatkan zaman bujang. Namun begitu pemuda yang baru saja menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-31, Sabtu lalu berkata, buat masa ini dia belum lagi bertemu dengan mana-mana gadis yang sesuai menjadi suri hatinya.

Kerana itu, Iqram lebih senang menyerahkan soal siapa bakal isterinya kepada ibu bapanya untuk membuat pilihan. 

"Saya dah rasa nak kahwin. Sebenarnya ibu bapa saya dah mula suruh saya kahwin. Sepatutnya saya dah kena balik sebab mereka nak kenalkan saya pada seseorang", kata Iqram Dinzly kepada malaysiandigest.com.

Anak kelahiran negeri Perak ni ditemui di majlis sidang media ringkas sempena pelancaran pakej pelancongan 'Korea Winter Ski & Menjejak Lokasi-Lokasi Hebat Drama Korea' anjuran Safirgotravel.com, di Korean Tourism Organization (KTO), Plaza Hap Seng, Kuala Lumpur, petang semalam.

Kata Iqram, dia tidak kisah sekiranya bertemu jodoh dengan pilihan keluarga kerana soal cinta bukan perkata utama. Sebaliknya apa yang penting dalam sesebuah perkahwinan adalah restu daripada kedua orang tuanya. 

"Tak apalah kalau mama saya yang pilih untuk saya sebab orang dulu-dulu pun ramai yang berkahwin atas pilihan keluarga dan hingga kini mereka bahagia, kenapa kita tak boleh. Lagipun saya memang nak bercinta selepas berkahwin.

"Sebelum ini ibu ada perkenalkan beberapa calon pada saya, tapi ketika tu saya beritahu padanya, nanti dulu", katanya lagi.

Menurut Iqram, gadis yang akan diperkenalkan kepadanya itu merupakan kenalannya ketika kecil. Namun pelakon drama bersiri Julia ini enggan bercerita lanjut mengenai gadis 'misteri' itu.

Cuba mengalihkan topik perbualan, Iqram berkata apa-apa pun, sebelum berkahwin dia mahu menunaikan umrah bersama ibunya terlebih dulu.

"Saya nak pergi umrah dulu. Seronok bila dengar ada rakan artis yang bertemu jodoh mereka di hadapan Kaabah. Jadi, saya pun kalau boleh nak macam tu juga. InsyaAllah kalau saya ke sana nanti, saya mahu berdoa dan mudah-mudah dipermudahkan jodoh saya", ujarnya lagi.

Ajak Peminat Main Salji di Korea
Berkenaan melancong ke Korea Selatan, Iqram berkata jika tahun lalu dia berpeluang bercuti bersama peminatnya di Turki dengan pakej percutian Safirgotravel.com, tahun ini Iqram sekali lagi dipilih oleh agensi pelancongan tersebut sekaligus mempelawa peminat juga sesiapa saja yang berminat bercuti bersamanya di 'negara kimchi' itu.

Lebih menarik, percutian selama 5 hari 4 malam itu nanti akan dinikmati dalam musim sejuk. Selain melawat tempat-tempat menarik, peminat juga berpeluang menjejaki beberapa lokasi penggambaran drama-drama hebat Korea.

Antara tempat yang akan dilawati seperti Seoul, Incheon, Gapyeong, Han River Cruising, Ski Resort, Isadong, tak ketinggalan lokasi drama popular Winter Sonata di Nami Island dan banyak lagi.

Lebih istimewa, rombongan juga dijadualkan akan ke KBS iaitu stesen penyiaran TV terbesar Korea yang terkenal dengan pernerbitan drama-drama popular. Kemungkinan besar, peminat juga bakal dipertemukan dengan pelakon terkenal Korea, nanti. 

Pakej eksklusif itu terbuka untuk 60 orang itu dan percutian akan berlangsung pada 5 hingga 10 Disember depan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.safirgotravel.com.

 

- mD

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.