Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

"Merong Mahawangsa layak menang" - Syamsul Yusof

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Monday, 08 October 2012 00:52

..

Syamsul Yusof berpendapat filem bikinan Yusri Abdul Halim, Hikayat Merong Mahawangsa sepatutnya layak memenangi kategori Filem Aksi Terhebat sekaligus Pengarah Terhebat pada Anugerah Blockbuster yang berlangsung Sabtu lalu.

Menurut pengarah muda berbakat besar ini, filem terbitan KRU Studios itu dilihat sebagai satu karya yang cukup luarbiasa dan lebih jauh ke depan dari segi aspek tenikal bagi sesebuah pembikinan filem di Malaysia.

"Saya rasa Merong yang patut menang anugerah pengarah Filem Aksi Terhebat sebab kalau kita tengok filem tu lebih advance dari aspek teknikalnya", kata Syamsul Yusof ketika ditemui selepas berlangsungnya Anugerah Blockbuster.

Pun begitu, dia tetap bersyukur kerana dua trofi itu menjadi miliknya menerusi karya, KL Gangster. Kemenangan lebih bermakna apabila filem tersebut turut diangkat sebagai Filem Terhebat. Pengarah berusia 28 tahun ini juga memenangi kategori Filem Seram Terhebat menerusi Karak.

Menyifatkan kemenangan yang diraih bagai fantasi namun dalam masa sama ianya dijadikan pembakar semangat untuk dia terus menghasilkan filem bergenre aksi dan seram. Bukan setakat itu, Syamsul juga meluahkan kejayaan yang diperolehi itu setidak-tidaknya dapat menutup mulut sesetengah pihak yang tidak berpuashati dengan kemenangannya di beberapa anugerah lain sebelum ini. 

"Saya rasa macam mimpi. Tak sangka saya menang. Saya yakin kelebihan dan keistimewaan KL Gangster adalah kerana filem ni dekat dengan penonton. Selepas ini saya akan cuba berikan yang lebih baik dan terus dengan formula saya iaitu menghasilkan lebih banyak lagi filem aksi dan seram yang jalan ceritanya dekat dengan penonton disamping tetap mementingkan kualiti dalam karya saya.

"Pada saya, filem aksi dan seram betul-betul mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pengarah berbanding kalau menghasilkan filem komedi. Kerana komedi lebih kepada skrip dan seseorang pelakon itu sendiri.

"Tambahan penonton sekarang ni pun dah bijak menilai dan kerana itu KL Gangster menjadi pilihan mereka. Selain tu saya rasa kejayaan ni juga dapatlah menghilangkan ketidak puashatian sesetengah pihak terhadap saya sebelum ni", katanya.
 
Ubati Kempunan Papa, Hadiah Untuk Sofi Jikan dan Adi Putra
Pada malam itu juga Syamsul menerima Anugerah PFM atas sumbangan dan hasil kerjayanya yang cemerlang selamanya ini. Sebagai seorang pengarah muda, anak kepada penerbit juga pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam ni mengakui karier seninya melalui satu perjalanan yang indah dengan kejayaan demi kejayaan sejak dari awal lagi. Pun begitu Syamsul tidak mendabik dada dan leka sebaliknya berazam akan berusaha gigih.

Sementelah kalau dilihat kepada legasi Datuk Yusof Haslam, filem-filem bikinan ayah anak muda ini memang terbukti mencipta fenomena dengan kutipan berjuta-juta. Namun Mungkin ramai tidak tahu, yang Datuk Yusof Haslam jarang meraih anugerah berprestij sepertimana yang diraih Syamsul.

Justeru sebagai anak, Syamsul berkata kejayaan yang dikecapi hari ini setidak-tidaknya dapat mengubati kempunan ayahnya untuk memenangi trofi sewaktu di zaman kegemilangannya satu ketika dulu.

"Zaman papa saya dulu, filem dia memang majoriti box office tapi dia jarang menang anugerah besar. Jadi saya kira kejayaan malam ni dan sebelum-sebelum ni juga sebagai mengubati kempunan papa nak menang trofi.

"Selain tu anugerah filem Terhebat ni juga adalah hadiah untuk Sofi Jikan dan Adi Putra juga seluruh tenaga produksi. Saya mengharapkan Sofi dan Adi tercalon dalam kategori Penyangak Terhebat. Tapi malangnya mereka berdua tak ada rezeki kali ni", ujarnya lagi.

Dalam pada itu Syamsul turut meluahkan sudah tiba masanya dia menghasilkan filem epik berbajet besar dan impian itu mahu direalitikan satu hari nanti.

Perkembangan lain, Syamsul kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri KL Drift arahan adiknya Syafik Yusof. Selain dia juga baru saja selesai mengarah filem KL Gangster 2 yang akan menemui penonton awal tahun depan.


- mD








 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.