Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Randy Pangalila Anggap Kritikan Zed Zaidi Hanya Salah Faham

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Tuesday, 09 October 2012 02:15

..

Pelakon kacak kelahiran Surabaya Indonesia, Randy Pangalila menganggap pertikaian oleh segelintir pihak yang mempersoalkan status kedatangannya dan berlakon di sini, sebagai salah faham.

Empunya nama sebenar Randy Dionisius Pangalila berkata, sebagai pelakon asing yang mencari peluang berlakon sekaligus memngembangkan karier di Malaysia, dia berharap agar isu tersebut tidak lagi diperbesar-besarkan.

Menyedari dirinya seorang warga asing, jelas Randy, sebelum menerima tawaran berlakon di sini, awal-awal lagi dia sudah bertanyakan soal permit dan prosedur keizinan kepada pihak produksi milik penerbit juga pengarah Michael Ang iaitu Cube Film Sdn Bhd.

"Isu itu timbul kerana salah faham dan komunikasi pihak tertentu. Saya tidak mahu komen banyak tentang itu kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

"Sebelum saya datang, sebagai pelakon asing, saya begitu menekankan tentang soal keizinan dan peraturan untuk berlakon di sini. Sebelum memulakan penggambaran lagi, saya sudah pastikan yang pihak Cube Film sudah menguruskan hal berkenaan. Saya tak mahu dicop sebagai pendatang haram", katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Randy mengulas pertikaian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi beberapa bulan lalu mengenai kehadirannya serta peluang muncul di program khas pada Hari Raya lalu iaitu Randy! Oh My Raya yang didakwa dilakukan tanpa prosedur yang betul.

Malah, menurut laporan media Zed turut mempertikaikan pelakon berusia 22 tahun itu yang tidak menjadi ahli Seniman, di mana ia adalah peraturan wajib bagi seseorang yang ingin terlibat dalam produksi di negara ini.

Seronok menimba pengalaman bekerja dengan produksi tempatan, Randy memberitahu, perbezaan paling ketara yang dirasai ialah dari segi kelengkapan penggambaran, Malaysia lebih maju berbanding negaranya.

"Kelengkapan produksi Malaysia lebih ke depan berbanding di Indonesia. Misalnya untuk sebuah drama, kualiti visual yang dihasilkan seakan sama dengan tahap filem. Saya suka bekerja baik di Malaysia juga di Indonesia. Tapi kalau tentang kepuasan, saya suka kerja di Malaysia. Kalau tentang wang, di Indonesia lebih lumayan kerana sinetron di sana punya beratus episod dan setiap hari harus jalani penggambaran", katanya.

Sementara itu kunjungan tiga harinya di sini, sebagai memenuhi undangan sempena sidang media drama terbaru lakonanya, Dalam Hati Ada Taman. Ini kali kedua dia bergandinagn dengan Elfira Loy.

Ditanya mengenai segelintir peminatnya yang marah kepada Elfira gara-gara kemesraan mereka di dalam drama Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy berkata, kemarahan peminat itu sebagai sesuatu yang biasa berlaku kepada mana-mana pelakon pun.

Bahkan dia percaya yang Elfira seorang yang profesional dan dapat berdepan dengan situasi itu. Tambah Randy, dia juga pernah mengalami nasib yang sama ketika digandingkan dengan seorang aktres Indonesia.

"Tentang kemarahan peminat saya pada Elfira, itu perkara biasa. Lagipun kami berdua hanyak berlakon saja kan... Saya juga punya pengalaman, berlakon sama Luna Maya, saya pernah menerima kritikan dari peminatnya. Biasa lah tu", ujarnya lagi. 

Dalam pada itu Randy menegaskan dia dan Elfira hanya berkawan baik. Meskipun pada awalnya agak berat untuk dia berkongsi soal cinta, akhirnya Randy mengakui sudah punya kekasih bernama Michella Putri, pelakon sinetron Nada Cinta.

"Sudah dua tahu kami bercinta. Kami serius tapi rasanya kalau mahu menikah mungkin tiga tahun lagi. Ketika itu umurnya 22 tahun sementara saya 25 tahun, okay kan gitu", katanya sambil tersenyum lebar.

Dalam perkembangan lain, Randy kini sedang menjalani penggambaran sinetron Raja dan Aku. Dia juga bakal kembali semula ke Malaysia untuk berlakon dalam filem terbitan Cube Film Sdn Bhd iaitu KL Meroyan.


- mD

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.