Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Zaiton Sameon Beri Kata Setuju Ketika Ingatannya Kurang Baik

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Wednesday, 10 October 2012 02:10

Zaiton Sameon bersama Nadia AqilahZaiton Sameon bersama Nadia Aqilah

Meskipun sewaktu menandatangani persetujuan membenarkan sejarah hidupnya diangkat ke layar perak, ingatan beliau dalam keadaan kurang baik, namun diva terkenal era 60-90an, Zaiton Sameon memberitahu beliau berpuas hati dengan hasil filem yang mengangkat kisah perjalanan hidupnya, berjudul Zaiton Ceritaku.

"Adik saya Shahril yang banyak berbincang dengan pihak produksi. Masa tu ingatan saya kurang baik. Jadi Shahril dan Rahim yang banyak bercerita pada produksi tentang kisah saya. Apa yang saya tahu, bila diminta turunkan tandatangan, saya hanya menurut kata Shahril", kata  Zaiton Sameon selepas ditemui di majlis previu filem terbabit di Cineplex e@Curve Damansara, semalam.

Pun begitu, sebelum memberi 'lampu hijau' kepada pihak penerbit Bruang Filem Sdn Bhd, kata Zaiton awal-awal lagi beliau meletakkan syarat dengan tidak mahu karya tersebut menyentuh tentang keluarganya.

"Alhamdullilah, saya suka cerita ni. Saya suka bila filem ni tak menyentuh sensitiviti mengenai famili saya. Lagipun sekarang ni saya benar-benar gembira dengan hidup saya bersama anak angkat saya. Saya tak susahkan keluarga dan adik-beradik.

"Sepanjang menontonnya, tak dinafi filem ni sedikit sebanyak membuatkan saya mengenang semula kisah lalu. Saya tak mahu lagi mengingatkan kenangan lalu. Paling menyentuh perasaan ialah ketika babak arwah anak saya. Sebolehnya saya tidak mahu bercerita tentang arwahnya. Ia sungguh memilukan", kata Zaiton Sameon dengan nada sedih.

Zaiton atau lebih mesra dengan panggilan Kak Eton, memohon agar pihak media jangan bertanyakan lagi tentang arwah anaknya Irwan. Kak Eton pernah berada di puncak kegemilangan sebelum beliau mengalami kemalangan ngeri pada tahun 1990 yang menjatuhkan populariti beliau dan juga mengakibatkan kematian anaknya tunggalnya itu.

Bagaimanapun jauh di sudut hati, Zaiton sedikit terkilan apabila dirinya dipotreykan dengan karakter sinis iaitu seperti seorang yang kurang siuman. Tetapi dia menerimanya memandangkan dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana semuanya tetakluk dalam kontrak yang ditandatangani.

"Nak kata saya kecewa bila digambarkan diri saya seperti orang tidak betul (kurang siuman), pun tak boleh juga. Sebab saya dah sain. Jadi saya terima. Hakikatnya, saya tak seperti yang digambarkan. Saya okay. Lagipun dua tahun selepas kemalangan tu, saya ada menunaikan umrah. Cuma ingatan saya kadang-kadang agak kurang baik sedikit.

"Dan saya ingin tegaskan yang saya bukan penyebab kematian ibu. Ibu saya diserang strok. Selama dua tahun saya menjaganya", ujarnya lagi.

Mengulas mengenai lakonan Nadia Aqilah yang membawakan watak utama iaitu sebagai dirinya, Kak Eton berkata dia gembira dan kagum dengan kesungguhan pelakon berbakat itu. Nadia juga dipuji Zaiton kerana pelakon berjaya membawakan karakter dirinya dengan begitu berkesan.

"Dia pandai bawa watak saya. sudah tentu sepanjang menonton filem itu tadi, saya teringat semula masa dulu-dulu. Ada babak makan durian, saya memang seorang peminat durian", katanya penuh teruja.

Sewaktu penggambaran dijalankan sekitar tahun lalu, Zaiton juga berkempatan untuk turun ke lokasi.

Filem Zaiton Ceritaku diilhamkan oleh Hajah Ainon dan Hj. Burhanuddin. Filem sulung arahan Isma Daniel itu mengisahkan sebuah penceritaan yang menyayat hati dan menyentuh perasaan penonton yang mengenali Zaiton Sameon dan juga pada mereka yang baru mengenalinya. Filem ini akan ditayangkan pada 1 November 2012.

Dalam perkembangan lain, Kak Eton selesai merakamkan sebuah album yang membuatkan sembiloan lagu baru, dan lagu berjudul Terimalah Aku dijangka hits tidak lama lagi.


- mD

 

 

 

 

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.