Jonas Brothers semasa sesi skype bersama media Malaysia.
Salah seorang anggota kumpulan Jonas Brothers, Kevin memberi kejutan kepada pihak media Malaysia dengan menunjukkan cover album penyanyi Yuna di telefon bimbitnya. Tidak cukup setakat itu, abang kepada Joe dan Nick Jonas ni sempat lagi memainkan sikit sedutan lagu nyanyian penyanyi kebanggan kita semua itu sambil berkata, "Oh, saya patut dapatkan album ini!".
Itu antara gelagat spontan Kevin apabila menjawab soalan sama ada Jonas Brothers pernah mendengar mengenai mana-mana artis Malaysia, sambil diperhatikan kedua-dua adiknya ketika sesi temubual dan ramah mesra bersama media Malaysia di alam maya (menerusi skype), yang diadakan oleh The WonderLand+, semalam.
Dengan penampilan ringkas dan bersahaja, ketiga-tiganya begitu petah melayan soalan-soalan diajukan. Kevin dan Nick lebih banyak memberi jawapan dan komen manakala Joe di tengah-tengah banyak mengiakan sahaja tetapi sesekali dia mencelah.
Mengenai perkembangan terbaru, selepas tiga tahun tidak bersama kerana masing-masing muncul dengan projek solo, penyatuan semula Jonas Brothers kali ini adalah untuk mepromosikan projek mereka.
Bercerita lanjut, Nick berkata ini adalah masa paling tepat dan mereka tidak sabar-sabar lagi bertemu peminat.
Joe menambah, mereka bertiga berbesar hati dapat melakukan aktiviti paling digemari bersama (menghiburkan peminat). Mereka bersama-sama mencari ilham, mencipta muzik dan membuat persembahan. Setiap persinggahan dan persembahan yang mereka lakukan adalah pengalaman paling indah. Dan dianggap sebagai evolusi sementelah mereka bakal muncul dengan album kelima mereka itu.
Buat masa ini mereka dalam proses memilih lagu yang betul-betul sesuai. Disebabkan itu juga mereka mengambil masa yang agak lama. Dan antara lagu yang sudah diputuskan ialah Meet You In Paris.
Disamping itu JB juga sempat berkongsi mengenai projek realiti TV terbaru mereka berjudul Marriage To Jonas yang diterbitkan oleh Ryan Seacrest dan Channel E! . Kata Kevin ia satu pengalaman yang menakjubkan, menarik dan menjadikan komunikasi kami lebih baik. Lebih-lebih lagi saya punya banyak waktu bersama sahabat baik saya (isteri). Seluruh keluarga, saudara dan teman-teman muncul dalam rancangan ini.
Sepertimana yang ramai sedia tahu, pada 24 Oktober ini JB akan mengadakan konsert buat pertama kali di Malaysia. Joe memberitahu walaupun sesekali rasa gementar menyelubungi perasaan mereka bertiga sebelum muncul dipentas, namun istimewa untuk peminat-peminat di Malaysia, mereka akan mendendangkan sebanyak mungkin lagu termasuk tiga lagu baru.
.
Konsert Jonas Brothers dibawakan The WonderLand+ pada 24 Oktober di Stadium Negara, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam. Tiket-tiket dijual pada harga RM88 & RM188 (Tempat Duduk Bebas), RM238 (Rock Zone) dan RM288 (Tempat Duduk Bernombor VIP / The Pitt). Harga ini tidak termasuk yuran pemprosesan tiket sebanyak RM3 untuk setiap tiket kategori. Semua kategori tiket ini boleh didapati di seluruh negara menerusi TicketCharge online dan kedai-kedai yang ditetapkan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi TicketCharge di +603 9222 8811 atau layari laman sesawang www.ticketcharge.com.my.
-mD