Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Dr. Sheikh Muszaphar Bakal Sambut Kelahiran Anak Kedua Dalam Air

Print E-mail
Farahanim Rahim   
Friday, 12 October 2012 11:15

Dr. Sheikh Muszaphar dan puteri kesayangannya, Sophea Isabella.Dr. Sheikh Muszaphar dan puteri kesayangannya, Sophea Isabella.

Angkasawan negara, Dato Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 40, memberitahu beliau sangat teruja menantikan kehadiran cahaya mata keduanya. Isteri beliau, Dr. Harlina Mohd Yunos yang kini sedang hamil lima bulan, dijangka akan melahirkan pada tahun Februari tahun hadapan.

Menariknya pasangan suami isteri ini sekali lagi bakal mengulangi sejarah kerana bayi kedua mereka akan dilahirkan di dalam air. Atau lebih tepat Dr. Harlina akan menjalani proses melahirkan dengan kaedah bersalin dalam air. Sama sepertimana pengalaman menimang cahaya mata sulung mereka pada 21 Julai tahun lalu.

"Ramai juga yang risau dan tanyakan pada saya tak takut bayi lemas ker? Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahwa melahirkan bayi dalam air ni selamat. Kaedah ini telah dijalankan bertahun-tahun di Amerika dan di Eropah. Kaedah ni juga dapat mengurangkan tekanan juga sakit yang dirasai oleh ibu ketika proses melahirkan.

"Bersalin dalam air adalah satu kejayaan dan InsyaAllah tiada masalah untuk kami meneruskan kaedah itu bagi kelahiran anak kedua nanti", kata Dr. Sheikh Muszaphar kepada malaysiandigest.com.

Dr. Sheikh ditemui ketika sidang media ringkas pelancaran Superstar Libra Cruise bersama Dato Sheikh Muszaphar Shukor, bertempat di Hotel Corus, semalam.
 
Dalam pada itu figura yang kini bertugas sebagai Felo Penyelidik Utama Institut Sains Angkasa ni berkata sebagai ibu bapa, beliau dan isteri memang memberi sepenuh kasih sayang dan perhatian pada puteri sulung mereka, Sophea Isabella yang kini berusia 14 bulan.

"Saya memang suka budak-budak. Bella ibarat cermin kepada diri saya. Kalau ibu dia sibuk, saya yang suapkan dia makan, tukarkan lampin dia, mandikan dia dan sebagainya.

"Malah kalau dia menangis, saya dan isteri berlumba-lumba, siapa lebih dulu pergi ke arahnya. Kalau ikutkan hati, saya nak 10 orang anak, kalau boleh lah", katanya sambil tersenyum dan berpesan kepada para pasangan suami isteri, jangan menangguh-nangguh untuk mendapat cahaya mata kerana bergelar ibu dan bapa adalah saat yang menakjubkan.

Ajak Peminat Bercuti Atas Kapal Mewah

Dr. Sheikh Muszaphar dan Pengarah Urusan Bagus Holidays Sdn Bhd (Johor), Anton Tey di sidang media.Dr. Sheikh Muszaphar dan Pengarah Urusan Bagus Holidays Sdn Bhd (Johor), Anton Tey di sidang media.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai pakej belayar bersama peminat ke Penang-Phuket-Krabi-Penang menaiki kapal mewah Superstar Libra Cruise, Dr. Sheikh berkata program sebegini sangat menarik kerana inilah masanya beliau mengenal lebih dekat lagi dengan para peminatnya.

"Selama ini saya berhubung dengan peminat melalui Facebook fanpage saya yang kini mencecah seramai 65 ribu 'like'. Ramai yang mahukan saya berkongsi pengalaman saya dan mereka juga nak kenal lebih dekat dengan saya. Jadi saya akan luangkan masa dengan sesiapa yang mengikuti percutian ini lagipun ni pertama kali saya naik cruise.

"Sepanjang masa peminat akan berada dengan saya. Mereka boleh bertanya apa saja pada saya. Mereka tentu akan tahu saya duduk bilik mana. Bila-bila masa saja kami boleh hangout. Kita akan berborak, makan bersama, membeli belah bersama. Dan satu yang best, cuti atas cruise ni saya memang takkan dapat mengelak dari peminat. Saya tak boleh terjun laut (gelak). Jadi tiada halangan antara saya dan peminat.

"Saya akan bawa isteri dan Bella bersama. Saya berharap, kepada sesiapa yang mengikuti juga akan turut membawa keluarga mereka. Saya akan bawa outfit angkasawan saya. Jadi anak-anak mereka boleh bergambar dengan saya, juga boleh dapatkan cenderamata dan poster. Ia bukan sekadar cuti kosong tapi juga menyuntik inspirasi dan memupuk minat terutamanya kalangan kanak-kanak untuk menjadi saintis, jurutera dan doktor ", ujarnya lagi yang juga merancang untuk mengajak sesiapa yang berminat melancong ke China, Eropah dan menunaikan umrah pada masa hadapan. 

Pakej percutian berharga RM1999 selama 4 hari 3 malam ni dikendalikan oleh Cuti Bagus Holiday Sdn Bhd, bermula 2-5 Desember 2012. Para peserta akan belayar dari jeti pelabuhan Pulau Pinang dengan kapal mewah sepanjang 216 meter dan 33 meter lebar dengan berat 42,276 tan itu pelbagai aktiviti santai yang dilalui mampu meninggalkan kenangan manis terutama bagi yang pertama kali melalui pengalaman tersebut. 

Maklumat lanjut mengenai pakej percutian ini boleh hubungi Bagus Holidays Sdn Bhd di talian 03-2166 555 atau 017-242 5855. 

 

- mD

 

 

 

 

 




 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.